Tertuduh kes tembak KLIA mohon rundingan pengakuan salah

Tertuduh kes tembak KLIA mohon rundingan pengakuan salah

Timbalan pendakwa raya berkata pihaknya dimaklumkan peguam tertuduh untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah pada prosiding perbicaraan hari pertama.

Hafizul Hawari didakwa cuba membunuh bekas isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di KLIA pada April 2024. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Pengurus syarikat agensi pelancongan, Hafizul Hawari memohon rundingan pengakuan bersalah atau “plea bargaining” di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan cuba membunuh bekas isterinya dan mencederakan pengawal peribadi mangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) April 2024.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin ketika prosiding perbicaraan hari pertama Hafizul, 39, di depan Hakim Ahmad Fuad Othman.

“Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan, namun pihak pendakwaan dimaklumkan peguam tertuduh untuk memasukkan tawaran pengakuan bersalah. Pihak pendakwaan akan meneliti tawaran dimohon pembelaan ini.”

Justeru, Raja Zaizul Faridah memohon mahkamah menetapkan tarikh lain bagi keputusan tawaran dimohon tertuduh dan hakim menetapkan 17 Julai ini sebutan semula kes.

Turut mengendalikan pendakwaan bersama Raja Zaizul Faridah ialah Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, manakala Hafizul diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman serta Muhammad Syafiq Mohamad Lazim.

“Plea bargaining” ialah rundingan pengakuan bersalah antara pihak pendakwaan dan pembelaan sebagai insentif tertuduh memilih untuk mengaku salah tanpa perlu melalui proses perbicaraan.

Pada 25 April 2024, Hafizul mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh Farah Md Isa, 39, di Balai Ketibaan Antarabangsa Terminal 1 KLIA dekat Sepang sekitar 1.09 pagi 14 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap pengawal peribadi, Mohd Nur Hadith Zaini, 39, menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian di lokasi, tarikh dan masa sama.

Bagi kes itu Hafizul didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.