
Katanya, ahli parti diingatkan tidak bermusuh walaupun berbeza pendapat, selain menyeru sifat ihsan serta berkasih sayang supaya setiap pertikaian dileraikan dengan baik.
“… yang bersaing (jawatan) timbalan, naib presiden, Pemuda, Wanita, adalah dalam kalangan sahabat lama dan setia dan sebahagian besar adalah pejuang asal yang banyak berjasa,” katanya menurut Bernama selepas rasmi pejabat PKR di Langkawi.
Perdana menteri berkata, berdasarkan pemerhatiannya pada senarai calon untuk pemilihan kali ini, ramai yang layak dilantik memegang jawatan tertinggi dalam parti.
“Saya tengok senarai, ramai cukup layak. Kalau ada dua jawatan timbalan, dua orang saya sokong. Kalau tengok semua ada rekod yang baik.
“Tapi, kalau dah pilih A atau B atau C, janganlah rendahkan martabat orang lain. Dalam perjuangan kena ada adab dan akhlak dan jangan lupa teras Madani…ini soal nilai, kena jaga sebagai teras. Soal akhlak jadi keutamaan,” katanya.
Menjelang pemilihan PKR pusat pada 23 Mei, tumpuan terarah dalam perebutan jawatan timbalan presiden antara penyandang, Rafizi Ramli, yang juga menteri ekonomi, dan Nurul Izzah Anwar.
Persaingan mengisi jawatan nombor dua semakin hangat, apabila Rafizi mengambil keputusan menolak merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita atas dakwaan berlaku pelanggaran adab serta hierarki parti, merujuk program pelancaran jentera PRN Sabah diumumkan tanpa perbincangan dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Laporan media mengesahkan Izzah dan Amiruddin Shari (calon naib presiden) berada di Sabah untuk melancarkan jentera PKR negeri itu, hari yang sama Jelajah Hiruk oleh Rafizi diadakan.
Mengikut tradisi parti, Rafizi sepatutnya merasmikan jentera parti sebagai timbalan presiden dan pengarah pilihan raya, menurut Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin.
Katanya, program berkenaan dianjurkan Biro Politik dan ramai ketua cabang dimaklumkan mengenainya pada saat-saat akhir.