Pertimbangan prinsip, Rafizi jelas sebab tak rasmi mesyuarat sayap

Pertimbangan prinsip, Rafizi jelas sebab tak rasmi mesyuarat sayap

Timbalan presiden PKR juga berkata keputusan itu juga susulan tiada perbincangan dalam pelancaran jentera PRN Sabah.

Kongres Pemuda dan Wanita PKR dijadualkan pada 22 Mei ini di Johor Bahru dan ia secara tradisinya dirasmikan oleh timbalan presiden. (Gambar PKR)
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli berkata keputusannya untuk tidak merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita PKR yang secara tradisi dirasmikan oleh timbalan presiden atas pertimbangan prinsip dan bukan kerana emosi atau sentimen peribadi.

Rafizi berkata keputusan itu juga dibuat susulan pelanggaran adab serta haraki parti apabila program pelancaran jentera PRN Sabah diumumkan tanpa perbincangan dalam Biro Politik mahupun Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli.

“Tiada mesyuarat, tiada makluman rasmi. Tiba-tiba keluar poster mengatakan Nurul Izzah dan Amirudin Shari akan melancarkan jentera pilihan raya pada tarikh dan masa yang sama dengan program saya,” katanya yang dipetik Sinar Harian dalam siri kempennya di Perak malam tadi.

Laporan media mengesahkan bahawa Nurul Izzah dan Amirudin berada di Sabah untuk melancarkan jentera PKR untuk negeri itu.

Kata Rafizi langkah itu meletakkan pemimpin akar umbi dalam dilema serta menggambarkan kelemahan komunikasi dalam pengurusan parti.

“Kita mesti ada tatacara, mesti ikut adab. Kalau semua benda dibuat ikut suka, macam mana kita nak urus parti dengan baik?” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh berkata parti belum dapat mengesahkan laporan mendakwa Rafizi enggan merasmikan Kongres Pemuda dan Wanita parti itu pada 22 Mei depan di Johor Bahru.

Rafizi dilaporkan menghantar surat kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim memaklumkan keputusannya untuk tidak menerima undangan bagi merasmikan mesyuarat dua sayap parti itu.

Kongres Pemuda dan Wanita PKR akan diadakan pada 22 Mei dengan majlis perasmian dijadualkan pada malam sebelumnya. Pemilihan pucuk pimpinan parti dijadualkan pada 23 Mei, disusuli pembukaan Kongres Nasional PKR pada 24 Mei.

Rafizi berkata pendiriannya itu bukannya untuk menghalang sesiapa, sebaliknya demi memastikan parti kekal berdisiplin dan menghormati struktur yang telah lama diamalkan.

“Saya dah buat keputusan. Saya tak akan pergi. Biarlah saya tanggung akibatnya, asalkan saya tak normalisasikan perkara yang salah.

“Kalau nak sangat timbalan presiden baharu, silakan. Kalau nak lantik Izzah atau Amirudin lancarkan, silakan. Saya tak halang,” katanya.

Beliau turut memberi amaran agar tidak membiasakan diri melanggar adab hanya kerana kepentingan sesetengah pihak, khususnya menjelang pemilihan parti.

“Kita diajar dalam parti ini, kalau sesuatu itu tidak betul, kita mesti bersuara. Jangan kita normalisasikan perbuatan yang salah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.