Pemain tak boleh cepat puas hati, kata Ryan Giggs

Pemain tak boleh cepat puas hati, kata Ryan Giggs

Legenda Manchester United berkata pemain tidak harus puas hati bila buat penampilan sulung skuad senior tetapi perlu usaha perbaiki diri.

RYAN GIGGS FOOTBALL CLINIC
Ryan Giggs melatih kanak-kanak ketika lawatan beliau ke Malaysia bagi mempromosikan perlawanan antara Manchester United menentang Asean All Stars pada 28 Mei ini.
KUALA LUMPUR:
Pemain bola sepak tidak seharusnya ‘berasa sudah berjaya’ hanya kerana berjaya menembusi pasukan senior, kata legenda Manchester United, Ryan Giggs yang juga antara pemain paling banyak meraih kejuaraan dalam bola sepak Inggeris.

Giggs berkata pemain tidak boleh berpuas hati selepas membuat penampilan sulung bersama pasukan senior kerana sentiasa ada ruang untuk memperbaiki diri dan meningkatkan prestasi.

“Bukan sahaja sukar untuk berdepan dengan lawan, tetapi juga ada pemain muda lain yang mahukan tempat anda, datang dari bawah seperti saya dulu, lapar untuk menyertai pasukan.

“Jadi anda tidak boleh berhenti dan anda sentiasa perlu memperbaiki diri,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

“Tidak pernah sepanjang karier saya, walaupun ketika berusia 30-an, saya rasa sudah berjaya. Saya sentiasa fikir ada sesuatu yang boleh saya pelajari ketika latihan atau sesuatu yang boleh saya pelajari ketika perlawanan.”

Dianggap antara pemain sayap terbaik dalam bola sepak, Giggs membuat penampilan senior pertama bersama United pada 1991 dan mencatatkan 963 penampilan – rekod tertinggi kelab – sebelum bersara pada 2014.

Beliau kini berada di Malaysia bagi mempromosikan perlawanan antara Manchester United dan Asean All Stars untuk Piala Cabaran Maybank 2025 yang dijadual berlangsung pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika ditanya mengenai kualiti yang diperlukan untuk menyertai dan kekal dalam skuad utama United, beliau berkata menembusi kesebelasan utama adalah mudah, tetapi mengekalkan tempat anda adalah sukar.

Katanya, beberapa kualiti diperlukan: kerja keras, personaliti, keyakinan diri, dan kesediaan untuk terus memperbaiki diri.

Sistem bola sepak ‘free flowing’

Giggs berkata beliau bukannya peminat pendekatan bola sepak yang terlalu sistematik, di mana pemain kurang mengambil risiko.

Katanya, pendekatan sebegitu membuatkan pemain hanya mengekalkan penguasaan bola dan tidak pergi ke mana-mana atau melihat pemain sayap membuat hantaran ke belakang bila berhadapan dengan pemain lawan.

Walaupun pendekatan sistematik menjadikan lebih sukar untuk memecahkan pertahanan lawan, Giggs berkata: “Itu bukan cara permainan saya.”

“Saya dibesarkan (dengan falsafah) cabar pemain pertahanan 10 kali. Mungkin anda akan dijatuhkan sembilan kali, tetapi anda akan menang pada cubaan ke-10. Dan itu sentiasa menjadi mentaliti saya.”

Jangan lepaskan peluang menonton perlawanan bersejarah antara Manchester United menentang Asean All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil pada pada 28 Mei ini.

Tempah tiket anda sekarang di myticketempire.com/manumy sebelum kehabisan!

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.