
Waran tangkap itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Johor Bahru pada 2 Dis 2024, selepas dia didakwa gagal mematuhi arahan SPRM supaya keterangannya direkodkan.
Hari ini, Hakim Amarjeet Singh membenarkan Ling memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan waran tangkap itu.
Ling juga mahu mahkamah mengisytiharkan SPRM tiada kuasa meminta Jabatan Imigresen menghalangnya meninggalkan Malaysia.
Wanita itu menuntut lebih SGD20,000 sebagai ganti rugi.
Pengurusan kes ditetapkan 3 Jun ini.
Ling menemui SPRM di Biro Siasatan Amalan Rasuah Singapura tahun lalu dan keterangan awalnya direkodkan.
Dia kemudian dipanggil ke pejabat SPRM di Johor Bahru untuk mendapatkan keterangan lanjut daripadanya.
Tetapi, dia tidak hadir dan memberi alasan bimbang dengan keselamatannya, selain mendakwa suaminya, Thomas Hah menggunakan SPRM untuk menekannya.
Ling dalam permohonannya memohon mahkamah mengetepikan waran tangkap itu atas alasan ia diperoleh SPRM secara salah.
Ling diwakili peguam Malik Imtiaz Sarwar dan Surendra Ananth, manakala Peguam Kanan Persekutuan Faisal Noor mewakili kerajaan.
Ling dilaporkan hilang 9 April lalu, ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan berhubung siasatan sedang dijalankan.
SPRM membuka siasatan terhadap Ling dan Hah Mei tahun lalu atas dakwaan rasuah serta kesalahan pengubahan wang haram.