
Ketika berucap pada acara temu rapat akar umbi di Klana Resort Seremban, Nurul Izzah mengimbau kenangan bersama bekas murshidul am PAS Nik Aziz Nik Mat, merujuk kerjasama parti itu dengan PKR dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
“ Saya dah mulakan proses mendekati asatizah (ustaz dan ustazah) kerana pada saya … PKR bermula dengan kekuatan, semua asatizah bersama (kita). Ketika itu, siapa boleh nafikan apa asbab Tuan Guru Nik Aziz boleh ‘solid’ bersama (kita),” katanya.
PKR menjadi sebahagian daripada PR bersama PAS dan DAP pada 2008. Melalui kerjasama itu, gabungan terbabit berjaya membentuk kerajaan di Selangor dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, gabungan itu terkubur selepas PAS meninggalkannya pada 2015, sebelum tertubuhnya Pakatan Harapan (PH).
Sementara itu, Nurul Izzah berkata, PKR pernah difitnah menerusi perhimpunan agung beberapa parti politik, memberikan persepsi bahawa mereka berwajah negatif dan musuh negara.
Bagaimanapun, katanya, parti itu menanganinya dengan kembali kepada idealisme parti dan perkara asas yang menjadi sebab ia menjadi pilihan ahli.
“Kita kena kembalikan semangat tersebut dan saya ingin ajak saudara saudari semua bersekali sertai saya untuk kembalikan semangat tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua ahli parti untuk bersatu padu kerana jika tidak, dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang, mereka mungkin akan kehilangan kejayaan yang telah diraih selama ini.
“Saya mohon kembali kepada suara akar umbi, beri peluang supaya kita mulakan gerakan ini, saya mohon kita lancar dan kita gerakkan dalam 24 bulan sebelum PRU akan datang.
“Target 50 kursi marginal ini dan kerjasama antara satu sama lain, kerana saya tak mahu dalam lima hingga 10 tahun (nanti), kita kehilangan apa yang telah kita raih,” katanya.