
Mahkamah menjatuhkan hukuman selepas Norjuma, 45, menukar pengakuan kepada bersalah di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.
Jika gagal membayar denda, Norjuma diperintah menjalani hukuman penjara sebulan, lapor Sinar Harian.
Semasa prosiding, Faiz Kamal Jaafar selaku peguam mewakili usahawan tudung itu merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan berbentuk denda.
“Anak guam tidak bekerja dan sedang menyambung pengajian di sebuah universiti tempatan.
“Dia ditanggung oleh bapanya yang juga seorang pesara kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Norjuma dituduh menyebabkan kecederaan dengan menampar pipi dan mencakar tangan Nur Solehah Rosli, 31, di sebuah kondominium di Wangsa Maju pada 18 Okt 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.