Giggs anggap kejuaraan EPL pertama kemenangan terbesar

Giggs anggap kejuaraan EPL pertama kemenangan terbesar

Legenda Manchester United itu turut menyifatkan kejayaan menang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) secara dramatik pada 1999 bagai kenangan indah dalam sepanjang kerjayanya.

Ryan Giggs, salah seorang pemain sayap terbaik dalam bola sepak moden, menghabiskan seluruh kerjayanya bersama Manchester United.
KUALA LUMPUR:
Bagi legenda Manchester United, Ryan Giggs, menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama pada musim 1992/93 sebagai ‘kemenangan terbesar’ sepanjang kerjayanya selain merangkul Liga Juara-Juara Eropah (UCL) enam tahun kemudiannya.

United merangkul piala liga domestik itu selepas kemarau kejuaraan selama 28 tahun.

Giggs mengimbau zaman membesar sebagai peminat Red Devils dan memperhatikan seteru utamanya Liverpool ‘menang segala-galanya’, serta kekalahan di tangan Leeds United dengan perbezaan hanya empat mata sebelum kemarau berakhir.

“Apabila kami mula-mula memenangi kejuaraan liga itu, ia seakan memberikan anda keyakinan untuk mara dan menang lagi selepas itu,” kata Giggs kepada FMT menjawab piala yang memberi kepuasan kepadanya.

United yang berpangkalan di Stadium Old Trafford mengungguli 12 kejuaraan EPL dari 1994 hingga 2013.

Pemain sayap kiri lincah itu berada di Malaysia untuk mempromosi perlawanan antara United dan Asean All Stars bagi Piala Cabaran Maybank 2025, pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.

United menjuarai liga domestik pertamanya, selepas lebih dua dekad, lebih manis bagi Giggs berbanding memenangi UCL pada 1999 dengan menewaskan Bayern Munich 2-1 menyaksikan gol penyamaan serta kemenangan dihasilkan pada masa kecederaan.

Kemenangan itu menyaksikan United meraih gelaran treble iaitu Piala FA, EPL dan UCL yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Pemain sayap yang ambil risiko

Ditanya sama ada mana-mana pemain bola sepak sekarang mengingatkannya tentang dirinya pada usia muda, Giggs berkata ia adalah ‘pemain sayap muda yang mengambil risiko’.

Giggs berkata beliau menghargai pemain sayap yang cuba menggelecek pemain, menjaringkan gol dan menjadikan perlawanan menarik, sambil memetik nama Ousmane Dembélé dari kelab Paris Saint-Germain.

“Ia agak berbeza sekarang kerana anda mempunyai banyak penendang kaki kiri di sebelah kanan, dan begitu banyak penendang kaki kanan di sebelah kiri. Jadi, mereka sentiasa menyusup masuk ke tengah.

“Sedangkan ketika saya bermain, saya sentiasa melebar ke bahagian sayap untuk buat hantaran lintang,” kata Giggs, yang lariannya dari sayap kiri digambarkan oleh pengurus ketika itu Alex Ferguson umpama ‘terapung di atas tanah seperti anjing Cocker Spaniel mengejar sekeping kertas perak yang ditiup angin’.

Penyerang terbaik United

Giggs berkata beliau sukar menamakan penyerang terbaik United, kerana telah bersama dengan begitu ramai pemain.

Bagaimanapun, ketika mula menyertai pasukan itu, dia suka bermain dengan Eric Cantona, seorang pemain hebat dan mempunyai komunikasi yang sangat baik dengannya.

“Anda berada pada tahap di mana anda tidak perlu kata apa-apa ketika bermain dengan rakan sepasukan, kerana kita boleh baca fikiran masing-masing. Anda hanya perlu lari ke hadapan dan dia akan buat hantaran dan begitulah sebaliknya.”

Selepas Cantona, Wayne Rooney juga “miliki serba sedikit segala kemahiran”.

Giggs turut memberi penghormatan kepada penyerang United seperti Andy Cole, Dwight Yorke, Mark Hughes, Robbie Van Persie, Ruud Van Nistelrooy, Ole Gunnar Solskjær, Dimitri Berbatov dan Carlos Tevez.

“Saya suka bermain dengan mereka kerana masing-masing memiliki kualiti tersendiri. Saya cuba menjalin hubungan dengan mereka untuk tahu pergerakan mereka di atas padang.”

Giggs menyertai United pada hari lahirnya yang ke-14 pada 1987, membuat penampilan pertama untuk kelab itu pada 1991. Dia menghabiskan kerjayanya bersama United dengan 963 penampilan, suatu rekod bagi kelab itu, apabila dia bersara selepas musim 2013-14.

Bersama United, beliau menang 13 EPL, empat Piala FA, tiga Piala Liga Bolasepak Inggeris, dua gelaran UCL, Piala Kelab Dunia FIFA, Piala Antara Benua FIFA, Piala Super UEFA dan sembilan Perisai Komuniti Persatuan Bolasepak England.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.