Buat penyasaran subsidi RON95 berperingkat, kata pengusaha Bumiputera

Buat penyasaran subsidi RON95 berperingkat, kata pengusaha Bumiputera

Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera berkata had kenaikan perlu munasabah dan terkawal dengan subsidi disalur terus melalui platform digital.

Minyak PETROL RON 95
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera, berkata pihaknya komited merealisasikan sistem subsidi bahan api progresif dan berdaya tahan.
PETALING JAYA:
Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera menyeru penyasaran subsidi RON95 dibuat secara berperingkat sehingga 2027 dengan had kenaikan harga munasabah dan terkawal.

Setiausaha Hanny Julia Haron, berkata penyaluran subsidi boleh dibuat terus kepada kumpulan sasar melalui platform digital yang selamat dan telus.

“Kita kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam merealisasikan sistem subsidi bahan api yang progresif dan berdaya tahan,” katanya menurut kenyataan kepada FMT.

Beliau berkata, persatuan juga mahu dibuat penyusunan semula subsidi dan Kaedah Harga Automatik (APM) melalui libat urus terbuka melibatkan pelbagai pihak.

Katanya, ia termasuk mereka mempunyai kepakaran dan pengalaman seperti pengusaha, yang memahami selok belok pasaran dan operasi runcit bahan api, pakar ekonomi serta pemain industri bebas.

“Kita menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 secara lebih bersasar dan mampan.

“Penyusunan semula APM akan membantu memastikan penyasaran subsidi dilaksanakan dengan lancar, saksama, dan mampu memelihara kestabilan bekalan serta kesejahteraan rakyat.”

Pada 13 Mei, Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan akan mengambil kira keadaan ekonomi semasa dalam membuat sebarang keputusan mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi RON95.

Pada Mac lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan dilaporkan, berkata mekanisme pelaksanaan penyasaran itu sedang diperhalusi dan akan melibatkan harga dua peringkat dengan kemungkinan menggunakan sistem MyKad.

Amir berkata, kerajaan juga tidak mahu membuat sebarang prapengumuman mengenai pelaksanaannya pada masa ini dan dijangka mengumumkannya selepas tempoh separuh pertama 2025.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.