
Pengerusi Zahid Hamidi berkata BN hanya akan jalin kerjasama dengan parti yang mempunyai matlamat sama, iaitu membangunkan negara dan menyatukan rakyat.
Tegasnya, BN masih terbuka untuk jalin kerjasama selepas mengumumkan kerjasama dengan Pakatan Harapan bagi menghadapi PRN Sabah.
“Kita tidak pernah tertutup tetapi kita jangan buka seluas-luasnya kerana ada musang berbulu ayam masuk untuk merosakkan rumah kita,” lapor Bernama, memetik ucapan beliau di satu acara Umno di Tenom, Sabah.
Zahid turut mengingatkan ahli BN bahawa trend politik dunia kini menyaksikan pembentukan kerajaan melalui kerjasama beberapa parti.
“Pilihan yang terbaik adalah kerjasama antara BN, PH serta parti yang sependapat,” katanya.
Zahid berkata BN perlu yakin berkongsi kuasa untuk penyatuan, perpaduan, serta kesepakatan politik.
“Itu adalah jalan yang terbaik untuk kita lakukan,” katanya.
Pada 15 May lalu, Zahid memaklumkan beliau sudah mengadakan ‘banyak’ perbincangan dengan Gabungan Rakyat Sabah, namun tidak mendedahkan lebih lanjut pertemuan itu.
Katanya, BN sedang meneroka beberapa kemungkinan BN-Pakatan Harapan Plus.