
Pengumuman pelantikan itu dibuat presiden PBB yang juga Premier Sarawak Abang Johari Openg selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB malam tadi.
Abdul Karim menggantikan Idris Buang yang dilantik sebagai ahli Majlis Tertinggi PBB.
Ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan, Abdul Karim menzahirkan penghargaan kepada pimpinan PBB atas kepercayaan untuk beliau menggalas jawatan itu.
“Saya akan bekerjasama dengan setiausaha agung dan presiden parti agar apa-apa kenyataan dikeluarkan tidak berbentuk peribadi, tetapi mewakili pandangan PBB,” katanya.
Pada 16 Feb lepas, Abdul Karim, menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak gagal mempertahankan jawatan naib presiden sayap Bumiputera PBB pada pemilihan parti.
Abdul Karim meraih 669 undi sekali gus meletakkan beliau di tempat kelima daripada enam calon bertanding. Hanya empat calon dengan undian tertinggi memenangi jawatan berkenaan.