Aktivis tegur DBKL tak munasabah berhubung acara di Dataran Merdeka

Aktivis tegur DBKL tak munasabah berhubung acara di Dataran Merdeka

P Rajsurian mempersoalkan sama ada sama ada berkelah di dataran awam juga memerlukan kelulusan mengikut undang-undang kecil bandar.

book reading
Federasi Belia Kebangsaan Malaysia mendakwa pihak berkuasa bandar mengganggu acara pembacaan dan perbincangan buku secara aman di Dataran Merdeka, Ahad lalu. (Gambar Instagram)
PETALING JAYA:
Langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mewajibkan semua perhimpunan di Dataran Merdeka mendapat kelulusan rasmi disifatkan tidak munasabah dan penguatkuasaan terpilih.

Seorang aktivis hak asasi manusia P Rajsurian berkata sesi pembacaan dan perbincangan buku secara aman minggu lalu ini yang telah diganggu pegawai penguat kuasa boleh dianggap aktiviti sosial dibenarkan di bawah undang-undang kecil dirujuk DBKL.

Beliau yang juga peguam berkata penguatkuasaan DBKL kelihatan bersifat terpilih memandangkan banyak aktiviti sosial lain dibiarkan berlangsung tanpa gangguan.

“Jika anda ke Dataran Merdeka, terutamanya pada hujung minggu, anda akan melihat ramai orang menjalankan aktiviti sosial seperti berkelah tanpa gangguan,” katanya kepada FMT.

“Adakah mereka yang berkelah juga kini perlu mendapatkan permit?”

Rajsurian turut berkata gangguan itu menimbulkan kebimbangan serius mengenai bagaimana pihak berkuasa mentafsir hak perlembagaan berkaitan kebebasan bergerak, bersuara dan berhimpun.

Selasa lalu, DBKL berkata semua acara di Dataran Merdeka memerlukan kelulusan awal daripada Datuk Bandar, dengan merujuk kepada undang-undang kecil bandar yang melarang ucapan, demonstrasi, kempen, atau aktiviti politik dan sosial tanpa permit.

Acara yang melibatkan perhimpunan awam juga mesti mendapat kelulusan daripada polis selaras peruntukan Seksyen 63 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kenyataan DBKL dikeluarkan selepas Federasi Pemuda Kebangsaan Malaysia mendakwa acara pembacaan dan perbincangan buku secara aman di Dataran Merdeka telah diganggu pada 10 Mei lalu.

Nalini Elumalai, pegawai program di Article 19 Malaysia berkata insiden itu menunjukkan sikap tidak bertolak ansur berterusan terhadap kebebasan bersuara.

Sehubungan itu beliau menggesa dialog terbuka untuk mencari penyelesaian.

“Kerajaan seharusnya mengiktiraf dan menghormati Dataran Merdeka sebagai tempat sah untuk perhimpunan dan perbincangan awam.

“Kerajaan perlu memastikannya diberikan tahap akses sama seperti mana-mana ruang awam lain,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.