
Walaupun ada peningkatan hampir 10% dalam pengambilan pelajar sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi tempoh lima tahun kebelakangan ini, Chang berkata Malaysia belum mempunyai cukup bakat berkemahiran untuk memenuhi permintaan industri teknologi yang berkembang pesat.
“Apa sahaja yang kita lakukan sekarang, kesannya hanya dapat dilihat dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang. Kita perlu merancang lebih awal,” katanya dalam temu bual FMT.
Amazon Web Services (AWS) melabur RM25.5 bilion hingga 2037 untuk membangunkan wilayah awan di Malaysia yang dijangka menyokong ribuan pekerjaan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pembelajaran mesin, keselamatan siber dan pembangunan perisian.
Pada masa sama Tesla melancarkan Model Y paling larisnya dan membangunkan rangkaian pengecas ultra pantas dengan pelaburan USD13.5 juta, setakat pertengahan 2024.
“Jika kita tidak berusaha lebih gigih, pelaburan ini akan merosot, atau (pelabur) akan mencari negara lain untuk melabur supaya mereka mempunyai cukup bakat. Ini adalah risiko jika kita kekurangan bakat,” kata Chang.
Beliau berkata, dalam jangka pendek Malaysia akan membuka pintu kepada bakat asing sambil berusaha meningkatkan kemahiran rakyat tempatan, termasuk graduan bukan STEM melalui program micro credential ditawarkan agensi seperti Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia (Mimos) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT.
“Kita bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia (dan) TVET (institusi) bagi meningkatkan kemahiran sedia ada mereka supaya lebih berteraskan teknologi,” katanya memaklumkan kerjasama itu bertujuan membangunkan kemahiran dalam bidang robotik, pengekodan dan AI.
Chang juga berkata, Mosti sedang bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkenalkan pembaharuan kurikulum, meningkatkan pendedahan industri, dan memupuk rasa ingin tahu saintifik dari usia awal.
Projek universiti berasaskan amali seperti diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaya (UM), sudah mula menunjukkan hasil apabila graduan lebih bersedia memasuki alam pekerjaan.
Beliau turut merujuk inisiatif utama seperti Malaysia Techlympics, Minggu Sains Negara, dan Kembara Sains Borneo sebagai sebahagian usaha lebih menyeluruh untuk menghidupkan sains dalam kalangan generasi muda Malaysia terutama di kawasan luar bandar.
“Dulu (semasa saya masih pelajar) pendekatannya lebih konvensional. Sekarang, ia lebih interaktif supaya mereka (pelajar) dapat memahami sains dengan lebih baik,” kata Chang yang juga bekas jurutera awam dan graduan UPM.
Namun, pakar industri berkata Malaysia terus kehilangan graduan STEM kepada negara seperti Singapura, yang mana jurutera mendapat gaji purata SGD4,000 (RM13,250) sebulan — lebih tiga kali ganda gaji jurutera di Malaysia.
Chang mengakui perbezaan nilai mata wang menyukarkan Malaysia bersaing semata- mata dari segi gaji.
Bagaimanapun, beliau percaya dengan membangunkan ekosistem menyeluruh bagi sektor teknologi bernilai tinggi mampu meyakinkan graduan untuk kekal di Malaysia walaupun ditawarkan gaji lebih tinggi di tempat lain.
“Jika ada ekosistem yang baik, mereka mungkin berfikir dua kali, dan memilih kekal di Malaysia yang mempunyai kos sara hidup lebih rendah serta dekat dengan ibu bapa,” katanya.
Chang memberikan contoh kejuruteraan aeroangkasa sebagai sektor di mana graduan sering menghadapi kesukaran mencari pekerjaan relevan di Malaysia dan akhirnya bekerja dalam bidang tidak berkaitan.
“Dengan menarik industri angkasa lepas ke Malaysia, kita secara perlahan-lahan membangunkan ekosistem dan (mewujudkan) lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya, merujuk projek terkini termasuk satelit penderiaan jauh dan cadangan pembinaan fasiliti pelancaran roket di Malaysia.
Chang berkata, secara keseluruhan visi Malaysia untuk menjadi ekonomi berteknologi tinggi dan dipacu inovasi menjelang 2030 bergantung kepada keupayaan negara untuk menginspirasi, melatih dan mengekalkan generasi saintis, jurutera dan teknologis yang akan datang.
“Bukan bermaksud sains lebih baik daripada sains sosial. Cuma keperluan terhadap sains semakin berkembang pesat dalam setiap industri.
“Pelajar perlu ada rasa lebih ingin tahu. Malah pelajar aliran seni yang belajar pengekodan boleh menjadi lebih kompeten dan berdaya saing di tempat kerja,” katanya.