
Menjawab kebimbangan dibangkitkan Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli, Saifuddin menjelaskan Lembaga Disiplin parti masih belum menerima sebarang laporan melibatkan kegiatan membeli undi atau seumpamanya.
Saifuddin, yang juga setiausaha agung Pakatan Harapan (PH), menegaskan bahawa membayar tempat untuk menganjurkan majlis makan malam dan menyewa khemah tidak sama dengan membeli undi.
“Politik wang, dalam takrif bagi duit untuk mendapat sokongan, saya tak fikir Keadilan ni berada pada tahap itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara sempena Hari Penjara di sini hari ini.
“Kalau menggunakan wang untuk mengadakan program jamuan, sewa khemah, bayar bilikhote, restoran, saya rasa itu memang adalah.”
Menteri dalam negeri itu juga berkata, menggunakan dana untuk perbelanjaan kempen yang sah adalah amalan biasa tetapi beliau mengingatkan pihak terbabit tidak berbelanja secara berlebihan.
“Saya setuju, tidak boleh sehingga dilihat mewah. Masyarakat sekarang ni sangat sensitif.
“Jamuan, hotel lima enam bintang, semuanya itu. Itu tak wajar. Saya tolak sama sekali,” katanya.
Beliau juga menggalakkan ahli parti melaporkan sebarang bukti salah laku kepada Lembaga Disiplin.
Saifuddin turut mengimbas ketika zaman awal parti pada 1998 dan 1999 dengan berkata acara pernah diadakan di gerai tepi jalan dan rumah kerana sumber yang terhad.
Kalau kongres parti pun buat di sekolah Cina, tidak ada dewan sanggup bagi kepada kami.”
Dalam ceramah di Kota Bharu semalam, Rafizi memberi amaran agar tidak terlibat dalam politik wang semasa kempen pilihan raya parti itu.
“Perkara itu memang benar-benar ada dan kita kena akui. Jangan sesekali cuba tipu rakyat kononnya kita bebas sepenuhnya daripada risiko tersebut, kerana rakyat sudah tidak mudah percaya,” katanya yang dipetik Sinar Harian.
Selain itu, beliau turut menyifatkan hubungannya dengan Rafizi dan Nurul Izzah Anwar, sebagai ‘adik lelaki’ dan ‘adik perempuan’.
Sebagai seorang tokoh kanan parti, beliau mengucapkan selamat maju jaya dan menggesa semua calon menjalankan kempen secara beretika.
Minggu lalu, Saifuddin dilaporkan berkata beliau memutuskan untuk tidak bertanding bagi sebarang jawatan dalam pemilihan kepimpinan pusat parti pada 23 Mei kerana mahu memberi tumpuan kepada perjuangan politik parti yang lebih meluas.