PKR masih reformis meski kemajuan perlahan, kata Nik Nazmi

PKR masih reformis meski kemajuan perlahan, kata Nik Nazmi

Naib presiden PKR itu berkata penyokong parti perlu menghargai kestabilan politik semasa, sesuatu yang 'dulu dianggap remeh'.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad berkata lebih banyak perlu dilakukan terutamanya dari segi komunikasi dengan rakyat.
PUTRAJAYA:
PKR tetap komited melaksanakan perubahan institusi walaupun kerajaan perpaduan belum melaksanakan reformasi dengan pantas, kata Naib Presidennya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata kerajaan perpaduan tidak gagal sepenuhnya dalam memperkenalkan reformasi, merujuk kejayaan pindaan perlembagaan yang memberikan kewarganegaraan kepada anak dilahirkan ibu warga Malaysia dengan pasangan warga asing.

Dalam satu temu bual bersama beberapa media, Nik Nazmi berkata Presiden Anwar Ibrahim kerap hadir ke sidang Parlimen di Dewan Rakyat, terutamanya semasa sesi pertanyaan perdana menteri.

“Ini menunjukkan institusi Parlimen diambil serius,” katanya.

Beliau mengakui kerajaan persekutuan belum bergerak pantas dalam agenda reformasi, ketika penyokong progresif PKR terutamanya Melayu bandar dan bukan Melayu mempunyai harapan tinggi terhadap parti.

“Mereka telah menjadi pendorong sokongan kita selama ini. Tetapi mereka juga perlu menghargai kestabilan politik semasa, sesuatu yang dulu kita anggap sebagai perkara biasa di Malaysia.

“Kini ia menjadi sesuatu yang amat bernilai selepas Langkah Sheraton (pada Februari 2020),” katanya.

Nik Nazmi, yang juga ahli Kabinet Anwar, mempertahankan kepimpinan ketuanya itu dalam parti dan kerajaan, dengan menyatakan sebagai perdana menteri beliau perlu mengurus pelbagai tuntutan rakan gabungan sambil mengemudi negara dalam cabaran ekonomi sukar.

“Perdana menteri berdepan banyak kesukaran dan hakikat ini bukan kerajaan Pakatan Harapan semata-mata membawa cabaran serta had tertentu terhadap apa yang boleh dilakukan.

“Dalam aspek ekonomi, kita telah membuat keputusan besar dan sukar seperti subsidi bersasar. Ramai menteri yang gusar, tetapi perdana menteri tetap tegas. Kita perlu lakukannya,” katanya.

Nik Nazmi turut menyebut usaha Putrajaya meningkatkan gaji penjawat awam, termasuk kajian semula gaji menyeluruh yang dibuat pertama kali dalam tempoh 12 tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata lebih banyak yang perlu dilakukan terutamanya dari segi komunikasi dengan rakyat.

“Kita telah ambil banyak langkah. Cabarannya ialah komunikasi untuk menjelaskan kedudukan kita. Perlu lebih banyak berinteraksi dengan pihak berkepentingan menjelang pilihan raya umum akan datang (PRU16).”

Kembalikan undi fizikal

Dalam perkembangan berasingan, Nik Nazmi menggesa PKR mengkaji semula kaedah pemilihan parti dengan mencadangkan penggunaan kertas undi dikembalikan bagi membangkitkan rasa memiliki dalam kalangan ahli.

Ahli Parlimen Setiawangsa selama dua penggal itu, yang pernah menjadi sebahagian daripada jawatankuasa pemantau pemilihan parti 2022, berkata undian dalam talian diperkenalkan kerana dianggap lebih mudah.

Namun kini, beliau mengakui walaupun undian dalam talian mempunyai manfaat, ia berisiko menjauhkan ahli daripada parti.

“(Tidak ada) rasa kepunyaan kerana mereka hanya menggunakan aplikasi. Untuk menjadi ahli pun hanya melalui aplikasi.

“Bagi pengundian dalam kategori tertentu, kita perlu lihat semula dan lakukan lebih banyak pengundian secara fizikal untuk mewujudkan rasa memiliki,” katanya.

Nik Nazmi, yang tewas dalam perebutan jawatan ketua PKR Setiawangsa pemilihan cabang bulan lalu, berkata beliau sudah menerima keputusan mengecewakan itu.

Namun, katanya penting untuk memastikan pilihan raya parti dijalankan secara bebas dan adil di semua peringkat.

“Kita perlu memberikan keyakinan kepada calon-calon dan 30,000 perwakilan yang akan mengundi bahawa pemilihan ini bebas dan adil, semua berada di landasan sama,” katanya.

Nik Nazmi bertanding bersama 11 calon lain untuk merebut satu daripada empat jawatan naib presiden pada pemilihan 23 Mei depan.

Ini pertandingan kepimpinan PKR yang pertama sejak Anwar menjadi perdana menteri pada November 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.