
Rajesh Nagarajan dari Lawyers for Animal Rights berkata kerajaan negeri mempunyai sumber untuk menangani isu populasi berlebihan anjing liar dan tidak sepatutnya mengharapkan pembayar cukai memikul beban tersebut.
“Jika ada masalah anjing liar, maka menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk menyelesaikannya,” kata aktivis itu kepada FMT.
“Kalau ada lubang di jalan, adakah kita minta orang ramai tampal sendiri? Jadi, untuk apa mereka membayar cukai? Menteri besar sepatutnya memohon maaf atas kenyataan tidak masuk akal itu.”
Rajesh berkata Aminuddin sepatutnya berterima kasih kepada NGO yang membantu walaupun tidak mempunyai kewajipan undang-undang, sambil menambah ramai antara mereka sudah menyelamat dan menyediakan semula tempat tinggal dengan sumber terhad.
Walaupun bersetuju perbandingan Aminuddin terhadap negara tiada masalah anjing liar, beliau berkata pentadbirannya melaksanakan program tangkap-mandul-lepasan (TNR) yang berperikemanusiaan dan sistematik bukan dibunuh.
Pada 30 April, DUN Negeri Sembilan sebulat suara bersetuju sebahagian anjing liar di kawasan perumahan majoriti Melayu-Islam perlu disingkirkan bagi menangani isu keselamatan.
Aminuddin dilaporkan mengkritik NGO dan aktivis yang mengadakan protes terhadap kerajaan negeri minggu lalu.
Dipetik Sinar Harian, beliau berkata operasi pelupusan itu akan diteruskan dan menggesa pengkritik berhenti membantah serta mengambil anjing itu sebagai haiwan peliharaan.
Aminuddin turut mendakwa NGO telah diberikan tanah untuk mengendalikan pusat perlindungan, dan bahawa ada antara mereka melepaskan semula anjing liar ke kawasan awam.
Namun, Presiden Global Human Rights Federation, S Shashi Kumar mempersoalkan dakwaan tersebut, dengan meminta bukti tentang pemberian tanah dan bagaimana ia dibandingkan dengan jumlah anjing yang telah diselamatkan.
Beliau turut menegaskan kebanyakan isi rumah hanya dibenarkan memelihara dua ekor anjing, malah ada yang langsung tidak dibenarkan.
“Adakah MB merancang untuk meminda peraturan tersebut?,” soal Sashi.
Shashi turut mendakwa pihak berkuasa tempatan sering mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM1,000 untuk mengambil anjing ditangkap yang didakwanya sebagai ‘pemerasan’.