Ketua penerangan baharu: Muhyiddin lantik Radzi secara lisan pada Februari, kata sumber

Ketua penerangan baharu: Muhyiddin lantik Radzi secara lisan pada Februari, kata sumber

Kelmarin, Ahli Parlimen Ahmad Fadhli Shaari menulis di FB bahawa Radzi Jidin mempengerusikan suatu mesyuarat selaku ketua penerangan PN.

Radzi Jidin
Radzi Jidin belum terima watikah sebagai ketua penerangan kerana pelantikan masih perlu dibuat dalam mesyuarat MT PN, kata sumber. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sumber dalam Perikatan Nasional mendedahkan pelantikan ahli majlis tertinggi Radzi Jidin sebagai ketua penerangan menggantikan Ahmad Faizal Azumu dibuat secara lisan pada Februari.

Beliau yang minta tidak dinamakan untuk bercakap tentang perkara ini berkata pelantikan itu disebut oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin dalam satu mesyuarat PN.

“Tan Sri (Muhyiddin) hanya beritahu secara lisan kepada semua orang dia akan tukar Faizal dengan Radzi,” kata pemimpin itu kepada FMT.

Sumber menjelaskan pelantikan secara rasmi masih perlu dibuat dalam mesyuarat majlis tertinggi PN, namun oleh kerana Muhyiddin belum panggil mesyuarat maka Radzi belum terima watikah.

“Walaupun beliau belum terima watikah tetapi disebabkan dah diarahkan maka mesyuarat ketua-ketua penerangan parti komponen perlu diadakan segera untuk selaras jentera parti,” katanya.

Sumber memaklumkan kali terakhir PN mengadakan mesyuarat majlis tertinggi pada Februari.

Setakat ini PN belum mengumumkan penggantian Faizal. Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari menulis di Facebook bahawa Radzi mempengerusikan mesyuarat ketua-ketua penerangan parti komponen PN, selaku ketua penerangan gabungan itu.

Faizal dilantik sebagai ketua penerangan PN pada Disember, menggantikan Azmin Ali.

FMT semalam melaporkan seorang pemimpin parti dalam PN menggesa pimpinan mengumumkan secara rasmi sebarang perubahan jawatan penting.

Pemimpin enggan dinamakan itu berkata ketiadaan pengumuman secara rasmi memberi gambaran seolah-olah wujud konflik dalaman, walaupun hubungan semua pemimpin PN berjalan baik.

Jawatan bendahari agung PN yang ditinggalkan oleh Ahmad Samsuri Mokhtar pada Disember lalu juga masih belum diisi sehingga kini.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz berkata tidak benar pelantikan Radzi dibuat secara cakap-cakap lisan.

Beliau mendakwa di Facebook bahawa FMT dapat ‘berita palsu’ daripada sumber dalaman tersebut.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai pengumuman rasmi pelantikan Radzi dinyatakan dalam hantaran beliau itu.

FMT sedang mengesahkan tarikh pelantikan Radzi secara rasmi dengan Tun Faisal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.