
Ketua Pemuda PKR berkata, parti mempertimbangkan banyak faktor dalam memilih calon pilihan raya bukan hanya kedudukan di bahagian, merujuk pemilihannya bertanding di kerusi itu pada PRU15.
Beliau menggantikan Shamsul Iskandar Akin yang dipertaruhkan di Bagan Datuk menentang Presiden Umno Zahid Hamidi. Shamsul kalah dengan majoriti 348 undi manakala Adam mengekalkan kubu kuat Pakatan Harapan (PH).
“Saya bukan dari cabang Hang Tuah Jaya waktu itu. Jadi, PKR ini tidak pilih calon semata-mata berdasarkan kepada cabang…ia mungkin satu faktor.
“Tapi, ada masa yakinkan masyarakat bahawa saya bukan di sini semata-mata atas faktor politik parti, PKR berada di mana-mana atas khidmat bakti.
“Jadi, ini tidak menggusarkan dan tak pernah rasa macam hendak timbulkan adakah saya selamat di sini. Adakah lepas ini tak tanding di Hang Tuah Jaya?” katanya dalam temu bual FMT, sambil menegaskan parti akan memutuskannya.
Adam mengulas kenyataan penganalisis Tawfik Yaakub yang beliau mungkin perlu mencari tapak politik baharu selepas kalah pemilihan timbalan ketua PKR Hang Tuah Jaya, bulan lalu.
Tawfik berkata, timbalan menteri belia dan sukan itu mungkin pada PRU16 perlu memberi laluan kepada Shamsul yang memenangi semula jawatan ketua PKR Hang Tuah Jaya.
Shamsul yang juga setiausaha politik kanan kepada perdana menteri mewakili Parlimen itu dari 2013 hingga 2022.
Mengulas lanjut, Adam berkata PKR juga sentiasa menghormati pandangan masyarakat dan tidak membuat keputusan berdasarkan percaturan politik semata-mata.
“Kalau nak sebut pasal sokongan saya selalu dapat kata-kata semangat bila balik Hang Tuah Jaya, sewaktu majlis Aidilfitri yang kebetulan selepas pemilihan pun ramai datang.
“Tugas saya sekarang teruskan khidmat dan bakti…jaga kawasan dan ia (kalah pemilihan parti) tidak sama sekali jejaskan motivasi untuk bekerja,” katanya.