
Ketua Penerangan, Fahmi Fadzil, berkata individu bertindak sedemikian juga berkemungkinan berdepan tindakan disenarai hitam daripada bertanding jika pemilihan terpaksa diadakan semula akibat peletakan jawatan mereka.
“Setiausaha agung PKR (Fuziah Salleh) ada sebut tadi mengenai beberapa cabang yang telah mengugut meletak jawatan AJK hanya kerana mereka tidak setuju atau tidak suka ketua cabang (yang menang).
“Apa yang setiausaha agung telah sebutkan, sekiranya mereka mengambil tindakan seperti itu (mengugut meletak jawatan) maka keputusan telah dibuat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Fuziah ialah sekiranya perlu diadakan pertandingan semula, semua mereka yang terlibat dalam tindakan itu mungkin disenarai hitam dan diharamkan bertanding semula,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jelajah kita keadilan di Dewan Tok Mat Yahoo malam tadi yang turut dihadiri Fuziah.
Fahmi mengulas tindakan sekumpulan AJK Cabang Lenggong dan Masjid Tanah yang mahu meletakkan jawatan selepas tidak berpuas hati keputusan pemilihan parti itu, bulan lalu.
Bagaimanapun, Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata selepas maklumat disampaikan kepada AJK dua bahagian berkenaan, kedua-dua kumpulan terbabit mempertimbangkan semula keputusan untuk meletakkan jawatan dan akhirnya membatalkan hasrat berbuat demikian.
Selain itu, Fahmi berkata perjalanan pemilihan berlangsung dalam suasana meriah malah di peringkat cabang juga aman tanpa insiden kekerasan, merosakkan harta-benda atau mengganggu ketenteraman awam sekali gus menyaksikan pemilihan kali ini jauh lebih berkesan dan baik berbanding sebelum ini.
Sementara itu, mengenai persiapan Kongres Nasional PKR pada 23 hingga 25 Mei ini di Johor Bahru, Fahmi berkata ia berjalan lancar dengan usaha jelajah kita keadilan oleh pejabat setiausaha agung dengan JPP yang telah pergi ke beberapa lokasi.
“Ia akan terus dilaksanakan hingga minggu depan. Ini adalah langkah yang baik dan neutral, kita tidak membenarkan atau berkempen secara kelompok atau berkumpulan, malah nanti hari pemilihan juga tidak dibenarkan menggunakan ‘cai’ atau menu.
“Saya teliti dalam sistem pemilihan, gambar calon-calon dimuat naik dengan semua latar belakang biru muda dan ini juga menunjukkan bahawa kita mengetepikan semua fraksi, kumpulan atau pasukan dalam bertanding sebaliknya kita (bertanding) dalam keluarga besar Keadilan,” katanya.
Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Wanita dijadual berlangsung pada 21 hingga 24 Mei dengan hari pengundian ditetapkan pada 23 Mei.