
Merujuk kejadian terbaharu melibatkan logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS negeri, Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan berkata pihaknya menyokong langkah pihak berkuasa menjalankan tanggungjawabnya di bawah undang-undang secara telus, adil dan tegas bagi memastikan ketidakpekaan, kecuaian atau kesilapan sama tidak berulang.
“Sebagai warganegara, PAS percaya semua pihak wajib menunjukkan rasa hormat dan bangga tertinggi terhadap simbol negara pada setiap masa dan keadaan sebagai cerminan jati diri kebangsaan dan patriotisme kita,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, PAS Terengganu dilaporkan membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi logo himpunan TMT 2025 yang memaparkan bintang Jalur Gemilang tanpa jumlah bucu lengkap.
Sekretariat program memaklumkan pihaknya menarik semula penggunaan logo itu dan mengeluarkan versi baharu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kemudian memaklumkan serang individu disiasat kerana disyaki memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang dalam keadaan tidak lengkap menerusi satu hantaran di media sosial.
SKMM dalam kenyataan berkata, individu berkenaan hadir ke pejabat cawangan Terengganu untuk dirakam keterangan susulan aduan diterima daripada orang awam.