Cepat naik, Adam Adli harap tak segera jatuh

Cepat naik, Adam Adli harap tak segera jatuh

Ketua Pemuda PKR kongsi harapan dalam usaha rebut satu daripada 20 kerusi ahli Majlis Pimpinan Pusat 23 Mei ini.

Adam Adli
Adam Adli menyertai PKR pada 2021 selepas menjadi aktivis pelajar yang memperjuangkan pelbagai isu.
PETALING JAYA:
Adam Adli berharap perjalanan pantasnya dalam politik tidak terhenti segera, menjelang pemilihan parti minggu depan yang menyaksikannya bertanding ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Menyertai PKR pada 2021, bekas aktivis itu mengetuai Pemuda setahun kemudian sebelum dicalonkan di Parlimen Hang Tuah Jaya pada PRU15 membawa cabaran Pakatan Harapan (PH). Beliau dilantik timbalan menteri belia dan sukan selepas itu.

“Saya akui ‘langkah’ politik itu agak laju dan semuanya berlaku dalam hanya dalam tempoh beberapa tahun. Kita tak nak cepat naik, cepat jatuh,” katanya dalam temu bual FMT.

Mengulas pemilihan 23 Mei ini, Adam mengakui ada kebimbangan terhadap peluang ‘mendaki tangga’ lebih tinggi dalam parti selepas kalah pertandingan jawatan timbalan ketua PKR Hang Tuah Jaya, bulan lalu.

Pada pemilihan itu, Adam tewas kepada Zamzizul Nordin manakala setiausaha politik kepada perdana menteri Shamsul Iskandar Akin mengalahkan Mohd Rafee Ibrahim, ‘rakan regu’ Adam bagi jawatan ketua PKR Hang Tuah Jaya.

Namun, Adam melihat kekalahan dalam cubaan pertamanya menempatkan diri dalam barisan pimpinan PKR Hang Tuah Jaya itu dari sudut positif.

“Pemimpin perlu melalui menang dan kalah. Saya sebagai aktivis dahulu pun jarang menang…lebih banyak kalah berbanding (menang).

“Kekalahan tidak beri kesan buruk sebaliknya menjadikan saya mahu berusaha lebih keras, jadikannya sebagai peluang melihat identiti dan kelemahan,” katanya.

Gandingan Adam Adli dan Muhammad Kamil Abdul Munim menyelesaikan beberapa isu membabitkan Pemuda PKR yang terjejas akibat ‘Langkah Sheraton’. (Gambar Facebook)

Katanya, antara masalah dihadapi termasuk jaringan ahli menyokongnya seperti contoh di Hang Tuah Jaya yang tidak sebesar Shamsul dan pasukannya.

“Jadi kita mula kembangkan jaringan sama ada dalam parti mahupun dalam kalangan penyokong untuk pastikan kita ada cukup sokongan,” katanya.

Beliau turut menaruh harapan pengalaman sepanjang tiga tahun mengepalai sayap parti itu dapat menarik perhatian perwakilan memilih untuk menempatkannya antara 20 ahli MPP yang akan membantu Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Adam berkongsi antara pencapaian pasukannya termasuk ‘menyelamatkan’ bahagian Pemuda PKR terjejas akibat ‘Langkah Sheraton’ pada 2020 yang turut menyaksikan Hilman Idham, timbalan ketuanya keluar parti dan menyertai Bersatu.

“Pemuda dahulu (selepas Langkah Sheraton) hanya ada sekitar 53 hingga 57 bahagian, kini meningkat lebih 200.

“Ini berjaya dilakukan dalam tempoh singkat selain keadaan kelam-kabut untuk berdepan pilihan raya,” kata Adam yang akan digantikan Muhammad Kamil Abdul Munim, setiausaha politik kepada menteri kewangan.

Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengisytiharkan Kamil, timbalan kepada Adam di Pemuda PKR menang tanpa bertanding susulan tiada pencalonan bagi jawatan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.