
Anwar menegaskan bahawa sebagai perdana menteri, beliau tidak boleh bersikap prajudis terhadap sesiapa dan setiap pesalah mempunyai hak untuk memohon pengampunan.
Katanya, keputusan berhubung permohonan itu adalah kuasa mutlak lembaga pengampunan, katanya dalam satu wawancara dengan Al Jazeera.
Mengakui sebahagian pengkritik mendakwa ia didorong kepentingan politik, Anwar berkata: “Buat pun saya kena kecam, tak buat pun saya kena kecam.
“Jadi akhirnya, anda lakukan perkara yang betul. Apakah perkara yang betul untuk dilakukan? (Menghormati) hak yang diberikan kepada setiap pesalah di Wilayah Persekutuan untuk mengemukakan permohonan (pengampunan).
“Adakah saya ahli FTPB? Tidak. Adakah pandangan saya diminta? Tidak. Adakah saya memberikan nasihat dari segi komplikasi undang-undang? Ya, tetapi setakat itu sahaja.
“Persepsinya ialah bahawa, di bawah Anwar, hukuman Najib telah dikurangkan separuh, tetapi itu tidak benar.”
Pada Feb 2024, FTPB mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam, dan dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Najib kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Anwar mempersoalkan ‘obsesi’ terhadap Najib dan pengurangan hukuman penjaranya yang ditunjukkan oleh kononnya ‘pengkritik progresif’, dan berkata banyak lagi kes rasuah lain yang perlu disiasat.
Walaupun enggan mengulas lanjut mengenai kes-kes ini memandangkan ‘siasatan sedang dijalankan’, beliau berkata negara dan pentadbirannya tidak seharusnya dibebani oleh obsesi terhadap Najib.
“Proses sewajarnya diteruskan, tetapi persoalannya ialah mengapa obsesi terhadap lelaki ini yang berada dalam penjara? Demi Tuhan, dia berada dalam penjara.
“Saya fikir ini adalah helah jahat yang terang-terangan oleh beberapa penyangak ini yang terus menonjolkan Najib berulang kali supaya kes mereka diabaikan.
“Biarkan (kerajaan perpaduan) mentadbir negara ini dan mengembalikan tadbir urus yang betul, kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman; biarkan kami mentadbir negara ini dan tidak dibebani oleh satu obsesi.”