15 pemimpin PKR Masjid Tanah tarik balik surat letak jawatan

15 pemimpin PKR Masjid Tanah tarik balik surat letak jawatan

Dalam surat terbaru 15 pemimpin itu berikrar mengukuhkan perpaduan parti dan mendukung aspirasi akar umbi.

pkr
Terdahulu 15 pemimpin itu dilaporkan meletak jawatan kerana tidak puas hati dengan kepimpinan ketua bahagian Masjid Tanah dan selepas dihasut seorang ahli. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Semua 15 pemimpin PKR Bahagian Masjid Tanah yang meletak jawatan semalam menarik balik keputusan itu dan berikrar akan terus berkhidmat kepada parti.

Menurut surat ditandatangani Timbalan Ketua PKR Bahagian Masjid Tanah, Sunar Misran, yang mendakwa mewakili 14 individu lain, pemegang jawatan itu secara kolektif memutuskan untuk menarik balik peletakan jawatan mereka.

Surat bertarikh hari ini yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh, menyatakan keputusan menarik balik peletakan jawatan itu dibuat selepas rundingan dengan pelbagai pihak berkepentingan dan menilai semula keadaan di bahagian.

“Setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak, khususnya rakan-rakan seperjuangan, ahli akar umbi dan penilaian semula terhadap situasi semasa cabang dan perjuangan parti, (saya) mewakili semua pimpinan yang dipilih dalam pemilihan dengan ini membuat keputusan menarik balik semua peletakan jawatan tersebut dan meneruskan tanggungjawab saya dalam kapasiti sedia ada,” tulis Sunar.

Perkara ini turut disahkan Fuziah ketika dihubungi.

Sementara itu, sumber PKR memberitahu FMT, ahli yang menghantar surat peletakan jawatan beramai-ramai itu kalah dalam pemilihan bahagian.

Sumber itu mendakwa ahli terbabit menghasut pemenang meletak jawatan.

Walaupun pemimpin yang meletak jawatan tidak berpuas hati dengan ketua bahagian menang (dalam pemilihan itu), mereka “tidak tahu apa perlu dilakukan” seterusnya.

“Walaupun mereka meletak jawatan, bahagian itu tidak akan dibubarkan kerana tidak membabitkan dua pertiga bahagian. Pihak menghasut (peletakan jawatan itu) mahu bahagian terbabit dibubarkan,” kata sumber.

Menurutnya, mereka yang meletak jawatan mempertimbangkan semula keputusan itu selepas keadaan sebenar dijelaskan kepada mereka.

Semalam, Malaysiakini melaporkan 15 pemimpin itu – termasuk Sunar dan Naib Ketua, Lee Kin Mio – meletak jawatan berkuat kuasa serta-merta selepas tidak berpuas hati dengan kepimpinan Ketua Bahagian, Halim Bachik.

Sumber dari PKR Melaka memberitahu Malaysiakini, kumpulan itu hilang kepercayaan terhadap Halim. Sumber ibu pejabat parti pula mengesahkan surat peletakan jawatan diterima sekitar 12.30 tengah hari.

Bagaimanapun, dalam surat terbaharu, 15 pemimpin itu berikrar mengukuhkan perpaduan parti dan mendukung aspirasi akar umbi.

“Kami percaya masih banyak ruang dan usaha yang boleh saya sumbangkan untuk memperkukuh cabang serta mendukung aspirasi parti di peringkat akar umbi.

“Saya mohon agar keputusan ini diterima dan direkodkan secara rasmi oleh pejabat setiausaha agung,” menurut surat itu.

Sunar turut kesal atas sebarang kesulitan yang timbul susulan peletakan jawatan semalam dan berterima kasih kepada kepimpinan parti atas kepercayaan serta sokongan berterusan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.