
Beliau berkata, Petronas mempunyai modal ekuiti dalam Rosneft.
“Syarikat minyak dan gas Malaysia, Petronas memegang modal ekuiti dalam Rosneft. Petronas juga mempunyai perkongsian dengannya dan sedang membangunkan hubungan itu, serta dengan Gazprom,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Moscow.
Rosneft ialah syarikat tenaga bersepadu Rusia yang beribu pejabat di Moscow, manakala Gazprom pula syarikat tenaga multinasional majoriti milik Rusia yang beribu pejabat di Lakhta Center di Saint Petersburg.
Putin berkata, Moscow membekalkan sejumlah besar produk minyak dan arang batu ke pasaran Malaysia.
“Kita melihat wujudnya prospek melaksanakan projek bersama dalam bidang gas dan penggunaan tenaga atom secara aman. Di Malaysia, dengan bantuan Rusia, kita telah membina kilang untuk menghasilkan getah sintetik.
“Dalam konteks kontrak jangka panjang, kita telah membekalkan input baja kalium dan nitrogen dari Rusia untuk pertanian Malaysia.”
Beliau berkata, Moscow juga meningkatkan bekalan produk pertanian dari Rusia ke Malaysia seperti bijirin.
“Kita juga akan meningkatkan eksport produk daging dan tenusu berkualiti tinggi ke Malaysia mengikut piawaian Halal Islam.”
Tahun lalu, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion).
Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses.
Import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral serta kimia dan produk berasaskan kimia.