
Dalam satu temu bual bersama FMT, Chang berkata beliau telah berdepan ujian selama bertahun-tahun termasuk beberapa kali ditangkap, dua kali didakwa kerana menyertai perhimpunan dan cuba ‘digoda’ dengan tawaran wang untuk berpaling tadah.
“Saya kekal bersama parti ketika ia berada di titik paling rendah dan tidak meninggalkan parti walaupun ada tawaran.”
Chang akan mempertahankan jawatan dimenanginya itu pada 2022 dalam pertandingan 11 penjuru.
Tiga lagi penyandang iaitu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad, juga akan mempertahankan jawatan terbabit.
Pencalonan lain termasuk Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin, Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi R Ramanan, Ahli Parlimen Segamat R Yuneswaran, Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr N Sathia Prakash, senator Abun Sui Anyit, Naib Ketua PKR Selangor Hee Loy Sian dan bekas naib presiden Mustaffa Kamil Ayub.
Minat Chang dalam politik tercetus selepas Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada 1998, yang mencetuskan gerakan ‘reformasi’ sekali gus penubuhan PKR pada 2003.
Beliau menyertai PKR pada tahun berikutnya, ketika parti itu masih bergelut menempatkan diri dalam landskap politik Malaysia selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum yang menyaksikan kemenangan besar Abdullah Ahmad Badawi setahun selepas menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.
“Itu waktu yang sangat sukar. Ramai yang pergi, tetapi saya kekal kerana saya percaya dengan perjuangan kami,” kata Ahli Parlimen Tanjong Malim.
Namun, kesetiaan itu turut menguji Chang yang menjadi antara individu ditahan kerana menyertai perhimpunan Bersih 2.0 pada 2011 dan #KitaLawan empat tahun kemudiannya.
Tidak gentar dan yakin agenda reformasi PKR berlandaskan prinsip keadilan, beliau tetap teguh dengan pendiriannya dan menolak tawaran untuk berpaling ke parti lain.
Namun begitu, beliau sedar ada yang merasakan PKR belum cukup menunaikan harapan rakyat.
“Hakimilah kami dalam beberapa tahun akan datang sebelum PRU16.”
Beliau mula dipilih sebagai wakil rakyat pada 2008 selepas memenangi kerusi DUN Teja di Perak dengan majoriti tipis 175 undi, sebelum mempertahankannya pada 2013 dengan majoriti lebih besar sebanyak 2,082 undi.
Beliau turut berbangga kerana berani mengambil risiko dan menjelaskan tidak pernah diberi peluang bertanding di kerusi selamat.
Pada 2018, PKR mencalonkannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Tanjong Malim, kubu kuat Barisan Nasional yang dikuasai MCA selama tiga penggal berturut-turut.
“Saya tidak teragak-agak. Dan kami menang.”
Chang memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,358 undi dalam pertandingan tiga penjuru, memperoleh 24,672 undi, menewaskan calon MCA Mah Hang Soon yang mendapat 19,314 undi.
Beliau mengekalkan kerusi itu pada 2022 dengan majoriti 3,541 undi, mengalahkan calon Perikatan Nasional Nolee Ashilin Radzi di tempat kedua, manakala Mah menduduki tempat ketiga dalam pertandingan enam penjuru.