Slogan ‘Sabah for Sabahan’ pupuk perpaduan, kata ketua PH negeri

Slogan ‘Sabah for Sabahan’ pupuk perpaduan, kata ketua PH negeri

Ewon Benedick tiada masalah dengan slogan 'Sabah for Sabahan', 'Sabah First' atau 'Sabah Rumah Kita'.

Ewon Benedick
Ketua PH Sabah, Ewon Benedick, lebih cenderung pada menyelesaikan masalah rakyat berbanding slogan.
PETALING JAYA:
Slogan ‘Sabah for Sabahan’ suatu bentuk semangat patriotik untuk memupuk semangat perpaduan, menurut ketua Pakatan Harapan Sabah, Ewon Benedick.

Ewon yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menegaskan aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan gabungan besar politik di Sabah.

“Saya tidak melihat sebarang masalah dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk rakyat Sabah), ‘Sabah First’ (Sabah Didahulukan), ‘Sabah Rumah Kita’ atau apa-apa tema lain yang digunakan oleh rakyat Sabah,” katanya lapor Utusan Borneo.

Ewon bagaimanapun lebih cenderung untuk melihat keberkesanan kerjasama parti-parti politik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“Sekuat manapun slogan itu, kalau masalah asas rakyat masih belum dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun, maka ianya kekal slogan,” katanya.

Pada 12 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamidi, dilapor berkata sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang diketengahkan pihak tertentu menjelang PRN Sabah bersifat memecahbelahkan.

Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Jeffrey Kitingan, membidas Zahid dengan berkata kenyataan itu mengabaikan sejarah dan mengetepikan kehendak politik sah rakyat Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.