
Turut dirasmikan hari ini, slogan baharu KRT iaitu ‘Memperkasa Komuniti, Mengukuh Perpaduan’ yang merupakan simbolik kepada transformasi dan semangat dibawa menjelang lima dekad kewujudan institusi itu.
“Penubuhan KRT yang kini genap 50 tahun membuktikan bahawa inisiatif ini adalah antara dasar paling berkesan dalam membina jati diri rakyat yang bersatu padu,” katanya ketika merasmikan sambutan Minggu Perpaduan peringkat Johor dan prapelancaran jubli emas KRT di Dataran Segamat.
Sementara itu, Aaron memaklumkan sambutan jubli emas KRT peringkat kebangsaan bakal berlangsung pada 28 dan 29 Ogos di dua lokasi berbeza bermula di KRT Kasipillay dan diteruskan keesokannya di Galaxy Hall, Sentul.
Beliau berkata, sejak penubuhan pada 1975 KRT melalui pelbagai fasa transformasi daripada rondaan sukarela demi keselamatan kawasan kejiranan sehingga kepada pelaksanaan program ekonomi dan sosial yang menyatukan komuniti.
Penubuhan KRT bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat, malah menjadikan mereka sebagai ejen perubahan dalam mencorakkan masa depan negara.
“Anggota KRT adalah wira tidak didendang yang menjadi tulang belakang kestabilan sosial di peringkat akar umbi,” katanya.
Katanya, peranan KRT terus diperluas melalui inisiatif ‘Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif’ bawah kendalian Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).
Tahun lalu, sebanyak 152 KRT di seluruh negara dimodelkan sebagai penggerak komuniti progresif.