Rafizi semangat nak debat, Izzah kata tak perlu

Rafizi semangat nak debat, Izzah kata tak perlu

Naib presiden PKR berkata, tumpuan harus diberikan pada usaha kurang ketegangan dalam parti, serta libat urus dengan ahli parti.

Rafizi Ramli mahu berdebat dengan Nurul Izzah Anwar menjelang persaingan jawatan timbalan presiden PKR pada 23 Mei, namun Nurul Izzah mahu tumpu pada kegiatan dengan ahli parti.
SHAH ALAM:
Nurul Izzah Anwar lebih berminat terlibat dengan kegiatan bersama ahli parti, berbanding mengadakan debat terbuka dengan Rafizi Ramli menjelang persaingan jawatan timbalan presiden PKR, walaupun Rafizi dilihat berkobar-kobar mahu berdebat.

Naib presiden PKR itu berkata, perhatian harus diberikan pada usaha mengurangkan ketegangan dalam parti dan mengadakan libat urus dengan perwakilan.

Tambahnya, pada masa ini, keutamaannya bukan pada kegiatan yang hanya boleh memburukkan pertikaian dalaman.

“Kita nak kurangkan ketegangan kerana keutamaan kita adalah untuk menyantuni perwakilan,” katanya pada sidang media.

“Lebih-lebih lagi saya nak teruskan kerja saya, program bersama (sayap) Wanita … bersama anak muda. Kita bukan nak berpolitik, tetapi nak libat urus dengan semua cabang.”

Bagaimanapun, pada acaranya di Mentakab, Pahang, Rafizi menzahirkan hasrat berdebat dengan Nurul Izzah agar perwakilan PKR dan masyarakat umum boleh membuat pilihan tepat.

Beliau percaya, langkah itu mampu meredakan ketegangan dalam PKR, sambil menarik lebih banyak perhatian umum terhadap parti.

“Lebih baik biar kita debat … kita (masing-masing) boleh bentang (pandangan), kemudian semua boleh buat keputusan tepat (siapa lebih layak jadi timbalan presiden PKR),” katanya.

“Dengan Khairy Jamaluddin pun saya pernah debat, (malah) dengan orang paling cerdik dalam PAS (seperti) Ahli Parlimen Bachok (Syahir Sulaiman). (Jadi) InsyaAllah, saya dengan Nurul Izzah pun boleh debat, dianjurkan oleh penganjur bebas, supaya kita boleh turunkan ‘suhu’.”

Persaingan bagi jawatan timbalan presiden PKR pada 23 Mei nanti akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Rafizi dengan Nurul Izzah.

Pada 2022, Rafizi menang jawatan itu pada pemilihan parti, manakala Nurul Izzah tidak bertanding, sebaliknya dilantik sebagai naib presiden.

Dalam pada itu, Nurul Izzah menyeru PKR agar lebih fokus pada PRU akan datang, berkata data tinjauan terbaru menyebabkan beliau lebih bimbang tentang prospek parti jika hilang fokus.

“Kita kena lebih fokus pada PRU16 kerana saya benar-benar bimbang susulan dapatan (tinjauan) Merdeka Centre, Ilham Centre, dan lain-lain,” katanya tanpa menjelaskan lebih lanjut dapatan dimaksudkannya.

“Kita kena pastikan kita capai bukan sahaja pangkalan (penyokong) teras, tetapi juga yang atas pagar.”

Dalam ucapannya sebelum itu, beliau menyeru perwakilan PKR agar mengundinya sebagai timbalan presiden parti.

“Bagi saya peluang, kita pupuk kasih sayang, ihsan dan kesabaran antara satu sama lain. Lepaskan ego, kekecewaan dan kebencian,” katanya.

“Saya nak tekankan, walaupun ada pemilihan parti, agenda utama saya tetap program ‘Wanita Mendunia’. Saya tak menang tak apa, saya akan tetap teruskan kerja.”

Turut hadir pada sidang media Nurul Izzah, seorang lagi naib presiden PKR, Amirudin Shari, turut menyuarakan seruan ke arah perpaduan dan matlamat mengatasi persaingan dalaman.

“Kita hendak pastikan parti ini main peranan penting bentuk kerajaan seterusnya. Kita mahukan Malaysia yang aman, bukan berpecah-belah disebabkan politik kaum,” kata menteri besar Selangor itu yang akan cuba mempertahankan jawatan naib presiden.

“Dalam pemilihan parti begini, kita bukan nak buat tawaran peribadi kepada ahli, tetapi lebih kepada tawar kepada rakyat Malaysia visi, apa yang mereka boleh dapat dengan PKR dalam kerajaan.”

Amirudin mengakhiri ucapannya dengan membentangkan cita-cita PKR menjelang PRU16, iaitu memenangi 50 kerusi Parlimen dan terus menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri pada masa akan datang.

PKR kini mempunyai 31 kerusi di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.