
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, PN “sangat lemah” di Sabah dan PAS tidak popular di negeri itu, manakala kebanyakan wakil rakyat Bersatu sudah melompat ke GRS.
Disebabkan itu, katanya, PN mungkin tiada pilihan kecuali bekerjasama dengan GRS.
PAS hanya memiliki satu daripada 79 kerusi DUN, dengan wakilnya, Aliakbar Gulasan ialah Adun lantikan.
Lebih 10 Adun Bersatu Sabah meninggalkan parti itu ketika “Langkah Kinabalu” pada 2023 dan menjadi ahli langsung GRS selepas PRN, termasuk Ketua Menteri, Hajiji Noor (Sulaman), Masidi Manjun (Karanaan) dan Rubin Balang (Kemabong).
Ahad lalu, Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS, Annuar Musa dilaporkan berkata, PN patut menyokong GRS pada PRN Sabah akan datang kerana PH dan BN sudah mengumumkan kerjasama mereka.
Annuar yang juga bekas setiausaha agung Umno berkata, PN patut mengkaji pilihan bertanding atas tiket GRS atau tidak menyertai PRN Sabah akan datang.
Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee bagaimanapun mengkritik Annuar dengan berkata, perkara itu sepatutnya dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi sebelum menyuarakan pandangannya secara terbuka.
Bagaimanapun, Chin berkata, GRS tidak mungkin bergabung dengan PN, sebaliknya lebih cenderung bekerjasama dengan PH, yang mungkin dapat membantu GRS membina semula hubungan dengan BN.
Asrul Hadi Abdullah Sani dari ADA Southeast Asia yang senada dengan Chin menyifatkan haluan politik PAS serta Bersatu tidak serasi dengan pengundi Sabah.
Selepas menemui Hajiji hujung minggu lalu, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim optimis tiga gabungan itu mampu mencapai persetujuan bagi menghadapi PRN Sabah.
Anwar juga berkata, PH memberi sokongan penuh kepada pengerusi GRS itu mengetuai rundingan berhubung potensi pakatan antara tiga gabungan terbabit.
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah mencadangkan PH-BN mungkin boleh menawarkan jawatan penting dalam kerajaan negeri kepada GRS, selain menjamin autonomi dalam tadbir urus tempatan dan agenda pembangunan jelas serta saling menguntungkan buat Sabah.
Asrul pula berkata, Hajiji mungkin mempertimbangkan pakatan dengan PH-BN, jika Umno sanggup melepaskan tuntutannya terhadap kerusi dipegang Adun yang mengingkari arahan parti supaya menarik sokongan mereka kepada pentadbiran Hajiji pada Januari 2023.
Hubungan Umno Sabah dan GRS terjejas sejak itu.