Malaysia komited tiada manipulasi, eksploitasi pekerja Bangladesh, kata Saifuddin

Malaysia komited tiada manipulasi, eksploitasi pekerja Bangladesh, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri juga berharap perkara itu direalisasikan dengan kerjasama berterusan daripada kerajaan Bangladesh.

foreign workers
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata pertemuan dengan Penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Asif Nazrul beri ruang bincang isu berkaitan pengurusan pekerja asing dari Bangladesh. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Malaysia komited dalam memastikan tiada manipulasi, eksploitasi atau penipuan pekerjaan terhadap warga Bangladesh di negara ini, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin juga berharap kerjasama berterusan daripada kerajaan Bangladesh dapat memastikan perkara ini direalisasikan, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Penasihat kepada Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh, Asif Nazrul hari ini

“Pertemuan ini memberi ruang untuk membincangkan secara mendalam isu-isu berkaitan pengurusan pekerja asing dari Bangladesh, yang terkait beberapa perkara dasar dan operasi bagi pengurusan tenaga kerja asing dan juga komitmen utama kerajaan dalam menurunkan kos migrasi,” katanya.

Saifuddin berkata beliau turut merakamkan ucapan terima kasih daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim atas sokongan kerajaan Bangladesh yang berterusan dalam usaha memperkemaskan pengurusan pekerja asing di Malaysia.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim juga membincangkan pelbagai isu penting berkaitan kebajikan dan pengurusan pekerja asing, khususnya dari Bangladesh ketika menerima kunjungan Asif di kementerian itu.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) dalam satu kenyataan di X berkata kedua-dua pihak turut menekankan kepentingan memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan ekosistem pekerjaan yang selamat, adil dan menghormati hak pekerja.

“Sim menegaskan komitmen Malaysia untuk terus menjadi destinasi pekerjaan yang beretika, dengan memastikan akses pekerja asing kepada perlindungan sosial, kebajikan dan latihan kemahiran, selaras dengan teras ihsan, keadilan dan kesejahteraan dalam kerangka Malaysia Madani,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.