
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata ia akan menjadi panduan kepada negara anggota dalam memperkukuh aspek undang-undang dan kawal selia kepada ancaman digital semakin meruncing.
“Malaysia menerusi Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berusaha membantu negara Asean lain mewujudkan ‘toolkit untuk mengatasi kemudaratan dalam talian
“Kita telah lihat di Malaysia sendiri kesan jenayah scam, buli siber dan juga pengembangan fahaman ekstremis dalam media sosial. Ini bukan masalah hanya berlaku di Malaysia, tetapi turut melanda seluruh dunia,” katanya berucap dalam majlis anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) 2024 kementerian di Kota Media Angkasapuri.
Fahmi berkata, Malaysia juga mengambil peluang selaku pengerusi untuk berkongsi pengalaman dalam mengurus isu keselamatan siber dan digital, termasuk kejayaan mewujudkan kawal selia terhadap platform teknologi antarabangsa.
“Malaysia satu-satunya negara (secara rasmi) ketika ini yang berjaya melesenkan aplikasi seperti Telegram. Saya, pengerusi SKMM telah bertemu pemilik Telegram dua tahun lalu di Dubai…sesuatu yang negara lain masih belum capai,” katanya.
Beliau berkata, kepelbagaian tahap pembangunan digital di Asean menjadi sebab utama kerjasama serantau sangat diperlukan.
“Ada negara dalam Asean yang jumlah penduduknya lima juta, ada 35 juta, ada 300 juta. Ada yang fasih berbahasa Inggeris, ada pula masih belum memiliki liputan 5G,” katanya.
Katanya, syarikat teknologi besar sering merasakan mereka lebih berkuasa daripada negara, namun Malaysia berpegang kepada prinsip undang-undang negara tetap mengatasi segalanya.
“Itulah prinsip kita. Dalam perbincangan dengan rakan Asean, mereka juga lihat pendekatan ini membawa manfaat,” katanya.