
U Mobile memberi jaminan tindakan melepaskan keseluruhan 100,000 saham dalam DNB dengan jumlah pertimbangan sebanyak RM100,000 itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan.
“Syarikat akan terus mengekalkan perjanjian akses borong 5G dengan DNB.
“Ini membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan 5G komersial sambil membangunkan rangkaian 5G miliknya, seterusnya memastikan pengalaman 5G lancar untuk pelanggan,” katanya dalam kenyataan.
Pada 1 Nov lalu, U Mobile dipilih untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara dan mereka turut dibenarkan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi lain untuk menjayakannya.
Susulan itu wujud desakan supaya wakil U Mobile keluar dari DNB bagi mengelakkan sebarang isu berkait strategi.
Pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan pada 22 Nov lalu mempersoalkan sama ada kerajaan sengaja memberikan kelebihan tidak adil kepada U Mobile.
Susulan perkembangan itu, YTL Power International Bhd (YTL Power), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), masing-masing akan memegang 33,333 saham (RM33,333).
DNB pula memegang satu saham (RM1).
Urus niaga itu dijadualkan selesai pada 30 Mei.