Putin jemput Sultan Ibrahim lawat Rusia

Putin jemput Sultan Ibrahim lawat Rusia

Jemputan itu disampaikan Presiden Rusia ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kremlin.

Presiden Rusia Vladimir Putin berkata negara itu menanti kedatangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ke Rusia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Presiden Rusia Vladimir Putin menjemput Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim untuk melawat negara itu.

Jemputan itu disampaikan Putin ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kremlin, Moscow.

“Saya ada satu permintaan besar. Sampaikan salam hormat saya kepada ketua negara, Sultan Ibrahim.

“Kami menantikan keberangkatan baginda ke Rusia,” kata Putin kepada perdana menteri, lapor Bernama yang memetik Agensi Berita Rusia (Tass).

Sementara itu, Anwar turut mengundang Putin untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur yang merupakan sebahagian daripada mesyuarat peringkat tinggi Sidang Kemuncak Asean pada Oktober ini.

Anwar berkata lawatan Putin itu akan menjadi satu penghormatan buat Malaysia dan akan menunjukkan kepentingan hubungan dua hala serta diplomasi serantau.

“Bagi pihak kerajaan, rakyat pastinya akan berharap dan berpandangan ia sesuatu yang besar dan hebat, jika Presiden Putin berada di Malaysia tidak lama lagi atau selewat-lewatnya pada Sidang Kemuncak Asia Timur yang diadakan semasa (Sidang Kemuncak) Asean.

“Tetapi saya boleh jamin bahawa kehadiran anda di Malaysia akan menjadi suatu pencapaian bukan sahaja dalam hubungan dengan Malaysia malah rantau kerana saya percaya banyak orang di kawasan itu mempunyai hormat dan jangkaan yang tinggi terhadap kepimpinan anda,” katanya dalam sidang media bersama Putin.

Perdana Menteri Malaysia bersama delegasi negara tiba di Moscow, Rusia untuk lawatan rasmi mulai semalam sehingga 16 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.