
Peguam Kitson Foong berkata, ini langkah ke hadapan paling berkesan dalam landskap digital yang berkembang pesat dan penyepaduan alatan AI merentas hampir semua industri dan sektor.
Beliau berkata, undang-undang baharu itu boleh membantu mentakrifkan ‘kandungan janaan AI’ dan mengenakan syarat agar perkara itu didedahkan, termasuk tera air bagi imej dan video yang dihasilkan secara buatan.
“Malaysia perlu akta AI sendiri untuk membentuk perisai undang-undang terhadap penipuan yang dijana (melalui) AI. Jelas sekali, wujud jurang liabiliti yang menimbulkan persoalan seperti: ‘Siapa yang bertanggungjawab apabila kandungan AI merosakkan kehidupan – pemaju, pengguna atau platform?’
“Perundangan sebegini akan dapat menjenayahkan penggunaan AI berniat jahat, gambar bogel ‘deepfake’ dan berita palsu,” katanya kepada FMT.
Baru-baru ini, beberapa kontroversi tercetus membabitkan kandungan janaan AI, termasuk penerbitan imej Jalur Gemilang yang tidak tepat.
Bulan lalu, polis Iskandar Puteri menahan dua remaja untuk membantu siasatan berhubung penjualan gambar bogel yang dijana menggunakan AI. Salah seorang suspek – remaja lelaki berusia 16 tahun – didakwa menggunakan alatan AI dan gambar daripada media sosial untuk mencipta imej bogel palsu.
Awal bulan ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata, kementeriannya buat masa ini tidak bercadang memperkenalkan undang-undang khusus untuk mengawal selia penyalahgunaan teknologi AI.
Bagaimanapun, katanya, salah satu matlamat kementeriannya adalah untuk akhirnya menjadikan Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) suatu undang-undang yang boleh dikuatkuasakan.
Peguam Sarah Yong, pengerusi Jawatankuasa Siber dan Undang-undang Privasi Majlis Peguam berkata, undang-undang AI baharu mesti disertakan dengan pindaan menyeluruh terhadap perundangan, peraturan dan piawaian sedia ada.
“Undang-undang AI harus menyediakan remedi untuk liabiliti jenayah dan sivil, tetapi gubal undang-undang baharu sahaja mungkin tidak cukup,” katanya.
Yong berkata, penggubal undang-undang juga mesti mempertimbangkan sama ada kerosakan akibat penyalahgunaan AI boleh ditangani oleh undang-undang sedia ada, atau jika terdapat kelemahan yang perlu diatasi.
Foong mencadangkan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) dan Kanun Keseksaan dikemas kini untuk menangani kesalahan berkait penggunaan AI seperti penipuan dan fitnah, serta Akta Jenayah Komputer 1997 dipinda untuk merangkumi jenayah yang dibantu AI.
Buat masa ini, katanya, mungkin cukup untuk menggunakan Seksyen 233 CMA bagi kandungan AI yang dianggap ‘lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau sangat menyinggung perasaan’.
Beliau juga berkata, sebarang kandungan bersifat seksual mungkin termasuk bawah kesalahan Kanun Keseksaan, Akta Antigangguan Seksual 2022 dan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Seorang lagi peguam, Philip Koh berkata, AIGE dan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan 2021-2025 ialah ‘undang-undang ringan’ yang menyiapkan asas untuk perundangan berhubung pengawalseliaan AI pada masa akan datang.
Menyedari bahawa teknologi AI merangkumi pelbagai sektor dan memerlukan kerjasama rentas kementerian, Koh berkata, undang-undang itu tidak seharusnya menyekat inovasi, sebaliknya mesti menggariskan dengan jelas akibat penyalahgunaan AI.
“Pelan hala tuju AI dan AIGE akan tamat tahun ini, jadi ia mesti disegarkan dan dikemas kini,” katanya.
“Kerajaan juga harus mempertimbangkan dengan serius sama ada satu set garis panduan atau perundangan harus mengawal selia bidang ini. Pada pendapat saya, kita perlu mewujudkan undang-undang sivil dan jenayah khusus mengenai reka bentuk, pelaksanaan dan penggunaan alat AI.”