Nik Nazmi sangkal dakwaan Sanusi Putrajaya belum keluar SOP REE

Nik Nazmi sangkal dakwaan Sanusi Putrajaya belum keluar SOP REE

Menteri sumber asli dan kelestarian alam kata SOP berkenaan unsur nadir bumi dikeluarkan sekian lama kepada semua negeri.

Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad kata Menteri Besar Sanusi Nor sendiri hadir dalam pertemuan kementerian, apabila ditanya tentang dakwaan SOP REE belum dikeluarkan.
PETALING JAYA:
Nik Nazmi Nik Ahmad sangkal dakwaan bahawa Putrajaya belum mengeluarkan tatacara operasi standard berkaitan unsur nadir bumi (REE) kepada semua negeri.

Penafian ini menjawab dakwaan Menteri Besar Kedah, Sanusi Nor, berkenaan SOP REE yang menurutnya belum dikeluarkan.

Menteri sumber asli dan kelestarian alam sekitar berkata Sanusi sendiri hadir dalam pertemuan di kementerian apabila ditanya tentang dakwaan tersebut.

“Tak betul (dakwaan Sanusi). SOP dikeluarkan sekian lama kepada semua negeri,” katanya kepada FMT.

“Dia (Sanusi) sendiri hadir dalam pertemuan di kementerian.”

Ditanya bila kerajaan negeri boleh mula penerokaan mineral tersebut, Nik Nazmi menjawab: “Negeri dah boleh mula.”

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Sanusi sebagai berkata Kedah masih menunggu ‘SOP rasmi’ daripada kerajaan persekutuan, khususnya Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, bagi membolehkan aktiviti perlombongan REE dilaksanakan secara menyeluruh dan sah.

Pada sidang media di Wisma Darul Aman petang tadi pula, Sanusi dilapor mendakwa SOP berkaitan REE yang belum dikeluarkan mungkin kerana sumber itu banyak terdapat di negeri dikuasai Perikatan Nasional.

“Saya agak lah macam itu (faktornya) SOP tak keluar lagi sebab REE banyak ada di SG4,” katanya, dengan SG4 merujuk kepada Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.