Nahas FRU: Kementerian Pengangkutan diberi masa sebulan siap laporan

Nahas FRU: Kementerian Pengangkutan diberi masa sebulan siap laporan

Jurucakap kerajaan berkata laporan perlu dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat.

bas fru kemalangan
Sembilan anggota FRU maut selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, semalam. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Pengangkutan mempunyai masa sebulan untuk menyiapkan laporan siasatan nahas di Teluk Intan yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), semalam.

Jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil, berkata laporan itu perlu dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri sebelum keputusan dibuat.

FAHMI FADZIL
Fahmi Fadzil.

“Menteri pengangkutan (Loke Siew Fook) memaklumkan satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk meneliti aspek-aspek bukan bersifat jenayah, di mana dari segi kenderaan bawah bidang kementerian akan diteliti dan disiasat.

“(Sementara itu), siasatan oleh polis diteruskan. Jadi akan ada dua siasatan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Semalam, Loke berkata, sebuah pasukan petugas khas akan ditubuhkan bagi menyiasat kemalangan tragis itu, dianggotai pakar kerajaan dan bebas yang akan menasihati Kementerian Pengangkutan berhubung tindakan seterusnya.

Dalam kejadian kira-kira 8.50 pagi semalam, sebuah trak FRU dalam konvoi pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami terlibat kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kerikil di Jalan Chikus-Sungai Lampam.

Ketua Polis Hilir Perak, Bakri Zainal Abidin, mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas itu.

Punca kejadian masih disiasat, namun penemuan awal menunjukkan lori terbabit mungkin mengalami kegagalan sistem stereng.

Pemandu lori itu direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, bantuan kecemasan RM2,000 juga akan diberikan hari ini kepada lima keluarga mangsa di Perak.

Sumbangan itu diserahkan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang akan melawat keluarga mangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.