Keputusan kes bunuh pelajar vokasional 11 Jun

Keputusan kes bunuh pelajar vokasional 11 Jun

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif mohon masa untuk pihak pendakwaan balas hujahan pembelaan.

Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas tuduhan membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17, tahun lepas. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Mahkamah Tinggi menetapkan 11 Jun ini untuk keputusan kes 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu yang didakwa membunuh rakan sekolah mereka, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, tahun lepas.

Hakim Duncan Sikodol menetapkan tarikh pada prosiding sebutan hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif memohon masa untuk pihak pendakwaan membalas hujahan daripada pihak pembelaan.

Selain Nur Nisla, kes pendakwaan turut dikendalikan bersama Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri

Pada 28 Feb lepas, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu untuk membela diri atas tuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 15 April lepas, prosiding pembelaan kes bunuh membabitkan 13 pelajar lelaki itu ditutup selepas 18 saksi termasuk kesemua tertuduh selesai memberi keterangan yang bermula pada 10 Mac.

Pihak pendakwaan menutup kes pada 9 Dis tahun lepas selepas 25 saksi termasuk pelajar dan guru kolej selesai memberi keterangan pada perbicaraan bermula 19 Nov 2024.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P Kang serta Kusni Ambotuwo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.