Kempen Rafizi buka pekung PKR, kerajaan jadi bola tanggung, kata penganalisis

Kempen Rafizi buka pekung PKR, kerajaan jadi bola tanggung, kata penganalisis

Tawfik Yaakub dan Azmi Hassan berkata cara Rafizi Ramli melondehkan kelemahan PKR dan kerajaan boleh memakan diri menjelang PRU16.

Penganalisis kata Rafizi Ramli kelihatan tidak tentu arah dalam kempen beliau pertahan jawatan timbalan presiden PKR.
PETALING JAYA:
Rafizi Ramli dikatakan seolah-olah bertindak seperti pembangkang ketika kempen mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan tahun ini, lantaran serangan terhadap parti sendiri dan kerajaan.

Tawfik Yaakub dan Azmi Hassan senada cara menteri ekonomi itu melondehkan kelemahan PKR dan kerajaan boleh memakan diri menjelang PRU16, dan memberi bola tanggung kepada parti lawan.

“Rafizi sudah tidak tentu arah dan seolah-olah bertindak seperti pembangkang dalam parti kerajaan sepanjang tempoh berkempen,” kata Tawfik kepada FMT, mengulas cara Rafizi berkempen, yang secara terbuka menyasarkan rakan separti antaranya artis terkenal, Afdlin Shauki.

Afdlin berjaya menewaskan Nik Nazmi Nik Ahmad, yang juga seorang menteri, dalam pemilihan peringkat bahagian Setiawangsa.

Kelmarin, Afdlin berkata suara ahli yang memilih beliau seolah-olah tidak wajar diberi penghormatan hanya kerana latar belakangnya, apabila label ‘pelawak profesional’ yang disebut Rafizi digunakan dalam konteks mempertikai kelayakan dan mandat yang diberi oleh akar umbi.

Tawfik dari Universiti Malaya berkata Rafizi yang berstatus menteri sepatutnya guna ruang itu untuk bentang strategi masa depan, berbanding “menebuk parti secara terbuka kemudian menenggalamkannya sehingga ditertawakan lawan”.

Rafizi yang menjadi timbalan presiden sejak 2022 dicabar oleh Nurul Izzah Anwar, dalam pertembungan satu lawan satu pada 23 Mei ini.

Kelmarin, Rafizi dalam siri jelajah kempennya ‘seru’ perwakilan PKR mengundi pencabarnya, kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mendapat gambaran buruk jika anak perempuannya kalah.

Azmi, seorang felo kanan di Majlis Profesor Negara, menyifatkan strategi Rafizi ‘agak pelik’ kerana calon sepatutnya menyerang pencabar bukannya menyasarkan individu lain.

“Beliau sepatutnya menyerang Izzah kerana kurang pengalaman sebagai menteri tetapi tidak pula diserang secara depan-depan sebaliknya didedahkan pula kelemahan parti secara keseluruhan,” katanya.

Sementara itu, Tawfik menyifatkan kenyataan Rafizi bahawa sedia letak jawatan jika tewas pemilihan kali ini merupakan “tindakan kebudak-budakan dan suatu ugutan”.

Mengulas dakwaan Rafizi tidak boleh menyatakan tak setuju berhubung lanjutan kontrak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki, Tawfik percaya Rafizi sudah tentu boleh rujuk perkara berkenaan kepada Anwar tanpa sekatan berdasarkan kedudukannya dalam parti dan kerajaan.

“Beliau cuba menggunakan alasan itu sebagai bahan kempen,” katanya.

Tawfik turut menyarankan PKR kendali jelajah bersempena pemilihan bagi menjaga nama baik parti.

“PKR perlu segera menghentikan kempen berbentuk jelajah berkumpulan yang dianjurkan oleh pemimpin seperti ini tetapi menukar pendekatan seperti jelajah dikendalikan oleh parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.