‘Sabah First’ harus dijayakan menerusi hubungan baik kerajaan persekutuan, negeri

‘Sabah First’ harus dijayakan menerusi hubungan baik kerajaan persekutuan, negeri

Usaha merealisasikan polisi itu perlu kerjasama semua parti tempatan, tanpa konfrontasi dengan kerajaan persekutuan, menurut Upko dan PBRS.

Presiden Upko Ewon Benedick dan Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup berkata, kedua-dua parti yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini (PH dan BN) merupakan ‘jambatan Sabah di Putrajaya’.
KOTA KINABALU:
Polisi meletakkan kepentingan dan keperluan Sabah sebagai utama atau ‘Sabah First’ harus dijayakan menerusi hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan negeri secara perundingan bijaksana.

Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Ewon Benedick dan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Joseph Kurup dalam kenyataan bersama berkata, usaha merealisasikan polisi itu memerlukan kerjasama semua parti politik tempatan, dan konfrontasi dengan kerajaan persekutuan bukan cara yang betul.

Menurut kenyataan itu, Upko dan PBRS yang menganggotai gabungan politik kebangsaan ketika ini merupakan ‘jambatan Sabah di Putrajaya’ dan memainkan peranan konsisten dengan parti lain dalam memperjuangkan isu-isu menjadi keprihatinan utama di Sabah termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Upko dan PBRS akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah serta pada masa yang sama ingin menyumbang kepada kesatuan rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Upko merupakan antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) manakala PBRS anggota Barisan Nasional (BN).

Ewon yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi manakala Arthur timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, usaha kedua-dua parti melalui platform gabungan masing-masing telah membuahkan hasil apabila sembilan tuntutan bawah MA63 berjaya diselesaikan kerajaan Madani, selain empat tuntutan yang telah diselesaikan kerajaan terdahulu.

Menurut kenyataan itu, Upko dan PBRS akan terus memperjuangkan baki tuntutan MA63 serta keperluan pembangunan ‘Sabah First’ dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Kedua-dua parti juga berpendapat aspirasi tempatan perlu menjadi asas kepada sebarang perundingan gabungan politik di Sabah menjelang PRN.

“Aspirasi tempatan penting kepada gabungan besar politik menghadapi pilihan raya negeri tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat yang diperlukan untuk membangunkan masa depan Sabah dan menjadikan Persekutuan Malaysia lebih baik,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.