Ramasamy berdepan 17 tuduhan pecah amanah, kata sumber

Ramasamy berdepan 17 tuduhan pecah amanah, kata sumber

Pertuduhan dipercayai berkaitan pedati bersalut emas dan pembayaran amal kepada pihak luar.

p ramasamy
Peguam sebelum ini kata TKM Pulau Pinang II P Ramasamy berdepan tuduhan di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM.
GEORGE TOWN:
Bekas timbalan ketua menteri II, P Ramasamy, dijangka berdepan 17 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM850,000 apabila beliau dibawa ke mahkamah esok, menurut dua sumber berbeza.

Sumber di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara mengesahkan pertuduhan akan dibuat menurut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak lebih dari 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tiga belas pertuduhan dipercayai berkaitan pemerolehan pedati bersalut emas oleh Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) pada 2019, semasa Ramasamy berkhidmat sebagai pengerusi.

Empat pertuduhan lain dikatakan melibatkan pembayaran amal yang dibuat kepada pihak luar — dua dikaitkan dengan tajaan pendidikan dan dua untuk perbelanjaan perubatan.

Terdahulu, peguam Ramasamy, Shamsher Singh Thind, berkata ahli politik berusia 76 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Sesyen di Butterworth, untuk menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM atas tuduhan salah guna kuasa.

Ramasamy menafikan semua dakwaan, menyifatkan kes itu sebagai bermotif politik.

Tahun lalu, SPRM melakukan siasatan ke atas pemerolehan pedati susulan aduan PHEB membayar lebih.

Ramasamy, yang mempengerusikan PHEB dari 2010 hingga 2023, berkata pedati itu disalut emas dan bukannya emas padu.

Beliau juga berkata projek pedati berkenaan diberikan melalui tender terbuka, serta semua bayaran diluluskan lembaga PHEB dan dilaporkan kepada ketua audit negara.

Ogos lalu, Bernama melaporkan bahawa Pengerusi PHEB RSN Rayer telah menyerahkan penemuan PHEB daripada audit forensik dalaman kepada SPRM. Rayer mendakwa bahawa audit telah mendedahkan beberapa petunjuk, tetapi tidak menjelaskannya secara terperinci

Pada 4 Dis tahun lepas, Ramasamy dilarang meninggalkan negara. Beliau kemudiannya memberi kenyataan di pejabat SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.