Rafizi, Nurul Izzah tak beri manfaat kepada orang India, dakwa Sanjeevan

Rafizi, Nurul Izzah tak beri manfaat kepada orang India, dakwa Sanjeevan

Naib Ketua Bersekutu Bersatu R Sanjeevan dakwa Rafizi Ramli mahupun Nurul Izzah gagal tunjuk prestasi meyakinkan sepanjang berada di tampuk kuasa.

rafizi ramli n nurul izzah
Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar akan bertembung satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR 23 Mei ini.
PETALING JAYA:
Kempen jawatan timbalan presiden PKR antara kem Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar disifatkan sebagai persaingan kosmetik tanpa menawarkan sebarang manfaat kepada masyarakat India, yang menjadi antara tunjang utama sejak penubuhan parti reformasi itu.

Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sanjeevan, mendakwa Rafizi mahupun Nurul Izzah kedua-duanya gagal menunjukkan prestasi meyakinkan sepanjang berada di tampuk kuasa, dan kini hanya bersaing atas retorik reformasi yang semakin kehilangan makna.

R Sanjeevan.
R Sanjeevan.

“Baik kem Izzah mahupun Rafizi, kedua-duanya berlumba menonjolkan imej paling reformis namun realitinya, setelah diberi amanah, kegagalan mereka semakin terserlah,” katanya dalam kenyataan, sambil mendakwa kemerosotan nilai mata wang negara serta kedudukan Malaysia dalam indeks rasuah global sebagai bukti kegagalan pentadbiran kerajaan Madani.

Rafizi dan Nurul Izzah akan bertembung satu lawan satu bagi jawatan timbalan presiden pada pemilihan PKR 23 Mei ini.

Pada pemilihan 2022, Rafizi menang jawatan itu. Nurul Izzah ketika itu tidak bertanding dan dilantik sebagai naib presiden PKR.

Semalam, Rafizi menyeru perwakilan PKR mengundi pencabarnya itu sebagai timbalan presiden.

Rafizi berkata, ini kerana Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mendapat gambaran buruk jika anak perempuannya kalah dalam perebutan jawatan nombor dua parti.

Dalam pada itu, Sanjeevan berkata masyarakat India kecewa terhadap sikap kepimpinan PKR yang didakwa mengabaikan komuniti itu, dan laungan ‘anak India anak saya’ yang sering dilaungkan Anwar juga tidak lagi kedengaran.

“Kaum India tinggalkan MIC demi percaya kepada idealisme reformasi tetapi selepas Anwar menjadi perdana menteri, laungan ‘anak India anak saya’ hilang tanpa jejak,” dakwanya.

Sepanjang PKR berada dalam kerajaan perpaduan, Sanjeevan mendakwa terdapat lima kegagalan utama membuktikan pengabaian berterusan kepimpinan semasa terhadap kaum India.

“Taraf hidup merosot, akses pendidikan terhad, tiada pelan pembangunan sosial khusus dan tekanan terhadap peniaga kecil India serta ketidakadilan penempatan antara kegagalan yang dilihat berlaku ketika ini,” katanya.

“Yang menang tetap elit politik, yang kalah tetap marhaen India,” katanya, sambil menyeru masyarakat India menilai semula sokongan terhadap PKR yang didakwanya hanya mendiamkan penderitaan komuniti selepas meraih undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.