Perjanjian Petronas, Petros dimeterai tak lama lagi, kata Abang Jo

Perjanjian Petronas, Petros dimeterai tak lama lagi, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata perjanjian itu merangkumi pengiktirafan terhadap undang-undang persekutuan dan negeri.

Anwar Ibrahim Abang Johari Openg
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg bersetuju untuk memuktamadkan prinsip utama bagi menyokong rundingan antara Petronas dan Petros. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak, Abang Johari Openg menjangkakan syarikat minyak nasional, Petronas akan menandatangani perjanjian dengan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam beberapa hari lagi.

Beliau berkata perjanjian itu merangkumi pengiktirafan terhadap undang-undang persekutuan dan negeri, lapor Borneo Post.

“Tunggu sahaja dalam dua hari lagi, akan ada satu dokumen perjanjian antara saya dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Pada Jumaat lalu, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan bahawa Anwar dan Abang Johari bersetuju untuk memuktamadkan prinsip utama bagi menyokong rundingan antara Petronas dan Petros.

Rundingan itu dilaporkan bertujuan membuka sepenuhnya potensi kerjasama antara Petronas dan Petros serta memastikan pelaksanaan yang berkesan, termasuk mempercepatkan bekalan tenaga komersial ke negara-negara Asean.

Ketegangan antara Petronas dan Petros semakin memuncak berikutan pertikaian pelesenan, selepas Sarawak mendakwa anak syarikat Petronas, Petronas Carigali mengendalikan terminal minyak mentah Miri tanpa lesen negeri.

Kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak sejak sekian lama terlibat dalam pertikaian berhubung hak minyak dan gas negeri itu.

Hari ini, Abang Johari berkata perjanjian itu juga akan merangkumi pengiktirafan Petros sebagai agregator tunggal.

Beliau juga berkata Sarawak akan meningkatkan pegangan dalam gas asli cecair (LNG) melalui satu perjanjian komersial.

“Tunggu sahaja. Saya hanya beri bayangan buat masa ini. Nanti saya akan maklumkan lebih lanjut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.