
Setiausaha Agung Julita Majungki menyifatkan GRS sebagai platform terbaik dan paling terbukti mencapai visi itu selain mencadangkan komponen terbabit bertanding secara solo pada PRN jika perlu.
“Sokongan ini selaras pendirian PBS sejak penubuhannya: memperjuangkan suara rakyat Sabah melalui kepimpinan yang lahir dari negeri ini sendiri,” katanya dalam kenyataan.
PBS, salah satu daripada lapan parti komponen dalam GRS, kini memegang tujuh daripada 42 kerusi dikuasai gabungan itu di DUN Sabah.
Jumaat lalu, Pengerusi GRS Hajiji Noor berkata gabungan itu akan bertanding secara solo dalam PRN jika PH dan BN memuktamadkan pakatan pilihan raya mereka.
Beliau juga menegaskan, parti tempatan Sabah seharusnya menjadi tulang belakang dan peneraju kerajaan negeri.
Namun, dua hari kemudian Pengerusi PH Anwar Ibrahim menyatakan keyakinan ketiga-tiga gabungan itu akan dapat mencapai persetujuan bagi menghadapi PRN.
Anwar, yang juga perdana menteri berkata beliau menyokong penuh Hajiji untuk mengetuai rundingan mengenai pakatan pilihan raya antara GRS, PH dan BN.
Hajiji pula menyatakan kerjasama antara GRS dan PH Sabah berjalan lancar.
Majungki menegaskan penting untuk memastikan masa depan Sabah dibentuk berdasarkan aspirasi rakyatnya sendiri, dengan menekankan kestabilan, kecekapan dan keadilan dalam tadbir urus.
Beliau berkata, parti tempatan mempunyai kekuatan tersendiri berpunca daripada kefahaman mendalam terhadap masyarakat berbilang budaya di Sabah.