Nahas FRU: Perak salur bantuan awal urus jenazah, kebumi mangsa

Nahas FRU: Perak salur bantuan awal urus jenazah, kebumi mangsa

Pada mesyuarat akan datang, mungkin akan dibincangkan bantuan lain untuk mangsa, kata exco negeri.

Waris dan kenalan mangsa berkumpul di pekarangan unit forensik Hospital Teluk Intan susulan kejadian kemalangan maut membabitkan trak FRU bertembung lori batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam hari ini. (Gambar Bernama)
TELUK INTAN:
Kerajaan Perak akan menyalurkan sumbangan awal kepada ahli keluarga sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) polis yang maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Chikus-Sungai Lampam pagi tadi.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Menteri Besar Saarani Mohamad berkata, sumbangan awal itu bagi proses pengurusan jenazah dan pengebumian mangsa terlibat.

“InsyaAllah dalam mesyuarat exco akan datang, mungkin menteri besar akan berbincang kaedah dan bantuan lain boleh diberikan bagi membantu waris serta mangsa terlibat, sebagai tanda keprihatinan kita,” katanya di Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan.

Terdahulu, Khairudin menyantuni ahli keluarga anggota FRU yang maut dalam kemalangan itu, menyampaikan ucapan takziah bagi pihak menteri besar dan kerajaan negeri.

“Diharapkan waris serta keluarga tabah menghadapi dugaan cukup berat ini dan semoga mangsa terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman manakala mereka yang cedera terus tabah dan kembali sembuh,” katanya.

Pagi tadi, Ketua Polis Hilir Perak Bakri Zainal Abidin mengesahkan sembilan anggota FRU dari Unit 5 Ipoh maut dalam nahas pada 8.50 pagi apabila trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori.

Pasukan itu dilaporkan dalam perjalanan pulang selepas bertugas sempena sambutan Chitirai Pournami.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.