Jawatankuasa khas teliti salah guna vape, kata Dzulkefly

Jawatankuasa khas teliti salah guna vape, kata Dzulkefly

Menteri kesihatan berkata langkah itu menyusul Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024 dikuatkuasakan sepenuhnya baru-baru ini.

vape
Setakat ini, hanya Kelantan, Johor dan Perlis mengharamkan penjualan vape, manakala Terengganu akan melaksanakan larangan itu mulai 1 Ogos.
PETALING JAYA:
Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi meneliti isu penyalahgunaan vape khasnya dalam kalangan pelajar, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Dr Ismuni Bohari dan penasihat isu kesihatan awam Kementerian Kesihatan (KKM) dikenali Dr Lokman.

Katanya, langkah itu menyusul Akta Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2024 (Akta 852) yang dikuatkuasakan sepenuhnya baru-baru ini.

“Kami ambil maklum beberapa kes tular di media sosial, termasuk membabitkan pelajar berkumpulan serta insiden kematian dikaitkan dengan penggunaan vape.

“Namun, siasatan awal mendapati terdapat faktor komorbiditi lain perlu diperhalusi sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya menurut Sinar Harian selepas majlis sambutan Hari Bidan dan Jururawat peringkat kebangsaan 2025 di Institut Kanser Negara.

Bulan lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata lebih banyak negeri perlu mengharamkan penjualan rokok elektronik dan vape yang semakin dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah sintetik baharu.

Setakat ini, hanya Kelantan, Johor dan Perlis mengharamkan penjualan vape, manakala Terengganu akan melaksanakan larangan itu mulai 1 Ogos. Selangor, Pulau Pinang serta Kedah masih mempertimbangkan cadangan itu.

Dzulkefly berkata, KKM mengarahkan jawatankuasa khas itu segera berunding dan menilai semula dasar sedia ada.

Menurutnya, aspek penguatkuasaan dan keberkesanan pelaksanaan Akta 852 juga akan dikaji semula, termasuk melaksanakan pemantauan menyeluruh ke atas kes berkaitan.

“KKM mahu memastikan setiap keputusan diambil berlandaskan bukti serta mengambil kira semua implikasi terhadap kesihatan awam,” katanya memaklumkan KKM komited menangani isu penyalahgunaan vape secara menyeluruh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.