Jangan jadikan kempen pemilihan medan serang peribadi

Jangan jadikan kempen pemilihan medan serang peribadi

Pengarah Strategik PKR Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menggesa kempen dijalankan secara beretika, profesional dan beradab, selaras semangat reformasi.

Saifuddin Shafi Muhammad berkata calon seharusnya sedar seluruh akar umbi sedang memerhati dan menilai termasuk keperibadian dan cara mereka berkempen. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pengarah Strategik PKR Selangor Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan semua calon tidak menjadikan kempen pemilihan PKR 2025 sebagai medan perbalahan peribadi yang boleh memecah-belahkan parti.

Beliau yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) menggesa kempen dijalankan secara beretika, profesional dan beradab, selaras semangat reformasi yang menjadi asas perjuangan parti.

“Parti ini dibina atas landasan perjuangan rakyat, bukan kerana dendam atau perebutan kuasa yang membinasakan. Fokuslah kepada apa yang mahu dilakukan jika diberi mandat, bukannya menyerang untuk menonjolkan diri,” katanya dalam kenyataan.

Peringatan itu hadir susulan beberapa insiden kempen yang dilihat mula menyimpang ke arah serangan bersifat peribadi dan bukan lagi berkisar kepada dasar atau visi calon, menjelang pemilihan peringkat pusat 23 Mei ini.

Menurut beliau, calon seharusnya sedar bahawa seluruh akar umbi sedang memerhati dan menilai bukan sahaja janji yang ditaburkan, tetapi juga keperibadian dan cara berkempen masing-masing.

Saifuddin turut mengingatkan, parti pernah melalui fasa pemilihan yang mencetuskan luka mendalam dalam kalangan ahli dan penting untuk mengelakkan episod perpecahan berulang.

“Banyak luka lama belum sembuh. Jangan ditambah parut baharu hanya kerana ghairah mengejar kemenangan,” katanya sambil menyifatkan semua ahli sebagai anggota dalam satu ‘rumah perjuangan’.

Beliau menggesa semua pihak agar kekal berjiwa besar menerima keputusan pemilihan dengan bermaruah dan terus menyumbang kepada kekuatan parti, tanpa mengheret KEADILAN ke kancah pertelingkahan dalaman yang merugikan imej parti di mata rakyat.

“Jangan biar rakyat melihat PKR bertelingkah demi jawatan. Tunjukkan teladan kepada anak muda bahawa kita adalah parti penerus masa depan, bukan budaya lama dengan wajah baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.