
Menurut laporan itu, kedua-dua kerajaan memaklumkan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) akan mempertimbangkan bentuk pampasan sesuai dalam beberapa minggu akan datang.
Penerbangan Malaysia Airlines MH17, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran antara pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.
Pada November 2022, laporan itu menyebut mahkamah Belanda mensabitkan dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh secara “in absentia” atas peranan mereka dalam serangan berkenaan.
Moscow menyifatkan keputusan itu “skandal” dan tidak akan mengekstradisi warganya, menurut laporan tersebut.
Reuters melaporkan kes itu difailkan Australia dan Belanda pada 2022.
“Keputusan ini langkah penting ke arah mencari kebenaran serta mencapai keadilan dan akauntabiliti bagi semua mangsa MH17 serta keluarga dan orang tersayang mereka,” kata Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp.
“Keputusan ini juga menghantar mesej jelas kepada masyarakat antarabangsa: sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.”
Katanya, Belanda dan Australia mahu Majlis ICAO mengarahkan Rusia memulakan rundingan pampasan.
Menteri Luar Australia, Penny Wong pula dilaporkan mengalu-alukan keputusan itu dan menggesa ICAO bertindak segera menentukan bentuk pampasan sesuai.
“Kami menggesa Rusia mengakui tanggungjawabnya terhadap tindakan keganasan dahsyat ini dan membayar pampasan atas salah laku berat dilakukan, seperti dituntut undang-undang antarabangsa.”
ICAO tiada kuasa perundangan, tetapi mempunyai pengaruh moral dan menetapkan piawaian penerbangan global yang diguna pakai sebahagian besar 193 negara anggotanya, menurut laporan tersebut.
Bernama sedang menghubungi Malaysia Airlines untuk mendapatkan maklum balas.