7 disaman langgar larangan beri merpati makanan

7 disaman langgar larangan beri merpati makanan

Ahli Majlis MBPP Lee Seng Hwai berkata sejak kompaun dikuatkuasakan Mac lalu, tujuh notis dikeluarkan pada Mac dan lima lagi bulan lalu.

merpati
Ahli Majlis MBPP Lee Seng Hwai berkata burung merpati bukan saja menyebabkan kacau ganggu, tetapi najisnya mengotorkan kawasan dan boleh menjejaskan kesihatan manusia. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Tujuh individu disaman kerana melanggar larangan memberi makanan kepada merpati yang dikuatkuasakan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi menangani masalah bawaan burung itu di George Town.

MBPP menguatkuasakan larangan itu sejak tahun lalu dan mengambil tindakan tegas mengikut Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 yang memperuntukkan kompaun RM250, dengan pesalah ingkar atau gagal membayar kompaun boleh didakwa di mahkamah.

Ahli Majlis MBPP yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kecil Kesihatan Persekitaran, Lee Seng Hwai, berkata sejak kompaun dikuatkuasakan Mac lalu, tujuh notis dikeluarkan pada Mac dan lima lagi bulan lalu.

Menurutnya, 637 aduan diterima tahun lalu dan 232 lagi tahun ini setakat Mac lalu, dengan 36 lokasi panas dikesan menjadi tempat pemberian makanan kepada merpati, iaitu 29 di daerah Timur Laut dan tujuh di Barat Daya.

Beliau berkata, MBPP mengambil tindakan lembut sebelum mengeluarkan kompaun bagi menyedarkan masyarakat terhadap bahaya merpati, terutama najisnya kepada kesihatan dan menjejaskan imej bandar raya itu.

“Burung merpati bukan saja menyebabkan kacau ganggu, malah najisnya mengotorkan kawasan, mengandungi bakteria, fungus dan bahan organik.

“Apabila kering, ia menghasilkan debu yang akan terapung jika terdapat pergerakan di udara dan memasuki sistem pernafasan.

“Kemungkinan seterusnya akan menjangkiti paru-paru serta sistem saraf manusia dan semua ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” katanya menurut Harian Metro.

Lee berkata, penyakit berjangkit berkaitan najis burung adalah jangkitan Histoplasmosis dan Cryptococcosis, manakala pembiakan merpati yang cepat boleh menimbulkan risiko lain, jika tidak dikawal.

Menurutnya, kebanyakan penduduk sedia maklum dengan larangan memberi makanan kepada merpati, tetapi tidak mahu membazir sisa makanan sering dijadikan alasan.

“Selain itu, alasan mereka adalah memberi makanan kepada haiwan akan mendapat balasan yang baik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.