
Kitingan berkata, kenyataan timbalan perdana menteri itu ‘mengabaikan sejarah, memesongkan fakta, dan mengetepikan kehendak politik sah rakyat Sabah’.
Katanya, rakyat Sabah tidak memerlukan kebenaran atau pengesahan pimpinan persekutuan menuntut apa menjadi hak mereka, sambil menambah Sabah tidak pernah menjadi negeri, tetapi rakan setaraf bersama Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu.
“Berdekad lamanya, Sabah dilayan seperti koloni sumber dengan suara kami disekat. Putrajaya secara sistematik meleraikan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), menghakis kedudukan kami dalam Perlembagaan, dan mengabaikan keperluan pembangunan kami.”
“Dan sekarang, kami diberitahu tidak menyuarakan aspirasi kami sendiri? Supaya duduk diam sementara parti-parti Malaya berunding sesama sendiri tentang siapa layak memerintah Sabah?”
“‘Sabah for Sabahan’ akan terus kekal. Ia bukan slogan politik sementara. Ia adalah pengembalian kebenaran yang telah lama tertangguh. Jika ada sesuatu yang memecahbelahkan, ia adalah keangkuhan persekutuan yang berterusan dan enggan mengiktiraf kedudukan sebenar Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) itu, berkata kerjasama Sabah dengan kerajaan persekutuan mesti bersandarkan rasa hormat dan kesaksamaan bersama, dan wilayah Borneo tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk manipulasi dan eksploitasi.
Awal hari ini, Zahid mengkritik sentimen ‘Sabah for Sabahan’ sebagai memecahbelahkan dan tidak membawa manfaat kerana Sabah sebahagian Persekutuan dan hubungan erat dengan Putrajaya adalah kunci kepada kemakmuran serta pembangunannya.
Presiden Umno menegaskan: ‘Kita semua rakyat Malaysia’.
Kenyataan mengkritik sentimen itu bukan julung kali dibuat. Ketika menjadi menteri dalam negeri pada 2017, beliau berkata slogan ‘Sabah for Sabahan’ dan ‘Sarawak for Sarawakian’ bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.
Zahid ketika menjadi timbalan presiden Umno, berkata menyebarkan sentimen sedemikian untuk menghasut Malaysia Timur dianggap jenayah serius, menjurus kepada anarki dan ketidakstabilan negara.
Kitingan juga pada masa itu mengkritik Zahid, sambil menyatakan tidak wajar menggugut rakyat dengan tangkapan dan pemenjaraan hanya kerana penggunaan slogan tersebut.