Usahawan Asean gesa visa perniagaan, kerja siswazah diwujudkan

Usahawan Asean gesa visa perniagaan, kerja siswazah diwujudkan

Pemimpin perniagaan mahu pekerja mahir bebas bergerak antara negara anggota, kata Pengerusi Asean-BAC Nazir Razak.

Nazir Razak
Aspirasi Asean menjadi komuniti ekonomi bersepadu terhalang akibat kelemahan iltizam politik dan kekurangan modal, kata Pengerusi Asean-BAC Nazir Razak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemimpin perniagaan Asean menggesa agar visa perniagaan dan visa kerja siswazah diwujudkan agar pekerja berbakat bebas bergerak di seluruh rantau ini.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan Asean (Asean-BAC) Nazir Razak berkata, aspirasi Asean menjadi komuniti ekonomi bersepadu terhalang akibat kelemahan iltizam politik dan kekurangan modal.

Bagaimanapun, pemimpin perniagaan Asean masih mahu pekerja mahir boleh bergerak dengan bebas antara negara anggota.

Katanya, cadangan visa perniagaan itu akan membolehkan pekerja syarikat Asean yang diluluskan bekerja di mana-mana negara dalam blok itu, manakala visa kerja siswazah dua tahun akan membolehkan seseorang menetap dua tahun selepas tamat pengajian.

“Sebagai contoh, jika anda belajar di Malaysia, anda akan dapat visa kerja dua tahun secara automatik (untuk bekerja di Malaysia),” katanya menambah, Singapura mempunyai aturan yang sama dengan United Kingdom (UK).

Nazir berkata, majlis itu akan mencadangkan inisiatif visa itu pada sidang kemuncak Asean akhir bulan ini.

Malaysia kini menawarkan pas siswazah yang membolehkan pelajar antarabangsa dari 23 negara kekal di negara ini selama setahun selepas tamat pengajian dan boleh melanjutkan pelajaran, melancong atau bekerja sambilan.

Sementara itu, penganalisis risiko perniagaan Ben Simpfendorfer berkata, ‘mobiliti bakat’ akan disambut baik oleh perniagaan di seluruh rantau ini.

“(Langkah) mempermudah bakat Asean berpindah ke Malaysia adalah suatu kejayaan yang besar,” katanya.

Simpfendorfer berkata, Malaysia secara semula jadinya mempunyai kelebihan kerana bahasa Inggeris digunakan secara meluas, mempunyai budaya yang pelbagai dan taraf hidup yang baik.

“Kedudukan yang dekat dengan Singapura (juga) suatu kelebihan, dan landskap bakat di sini boleh menjadi pembeza, terutamanya apabila syarikat-syarikat kini mahu menyatukan operasi dan mengurangkan kos,” katanya
.
Beliau berkata, Malaysia harus memberi tumpuan menarik kakitangan pengurusan dan kejuruteraan.

Apabila sektor pembuatan berkembang, katanya, syarikat-syarikat memerlukan individu yang boleh mengendalikan dan menyelia sistem yang kompleks.

“Peranan dalam bidang teknologi, terutamanya dalam kecerdasan buatan (AI), juga akan menjadi penting. Itu akan jadi salah satu bidang paling kompetitif di seluruh dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.